SEBERANG JAYA – Semua Jawatankuasa Kariah Masjid di negeri Pulau Pinang wajar mencari jalan secara kreatif untuk mengimarahkan institusi masjid masing-masing yang mana sekali gus akan memperkasa lagi perpaduan masyarakat pada peringkat akar umbi.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menyampaikan amanat itu semasa merasmikan Majlis Sambutan Ambang Tahun 2024 yang dianjurkan Biro Wanita Masjid Sembilang Seberang Jaya, dengan tema ‘Cintai Masjid, Cintai Keluarga Kita’ di sini pada 31 Disember 2023.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata inisiatif pihak penganjur tersebut adalah selari dengan Visi Penang2030 iaitu ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’.
“Seruan pengimarahan masjid ini adalah antara yang selalu ditekankan oleh Perdana Menteri Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim dalam gagasan Malaysia Madani (pada peringkat Kerajaan Persekutuan).
“Masjid adalah ‘Rumah Allah’ yang harus menjadi tempat paling dicintai, milik semua orang Islam tanpa mengira latar belakang mereka (yang mana) di sini bermula usaha membina teras perpaduan masyarakat atas dasar takwa.
“Jadi, janganlah kita biarkan ‘Rumah Allah’ (iaitu masjid) ini terkunci apabila perlu sahaja baru dibuka, biarlah tempat ini mesra kepada semua pengunjung.
“(Justeru,) program seperti ini perlu diteruskan, saya akan bawa nama Masjid Sembilang ini ke mana-mana masjid yang saya pergi di negeri Pulau Pinang, sebagai masjid contoh,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dalam masjid tersebut.
Di samping itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata pihaknya berhasrat menjadikan masjid-masjid di negeri ini bukan sekadar menjadi tempat ibadat khusus seperti solat fardu secara berjemaah sahaja, malah sebagai institusi tadbir urus sosioekonomi serta perpaduan buat masyarakat setempat.
Dalam perkembangan lain, Mohamad turut menyeru umat Islam supaya terus menyatakan solidariti kemanusiaan pada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang kezaliman rejim Zionis, sebagaimana usul tergempar yang dibawa sendiri oleh Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow semasa persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-15 pada hujung bulan November lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Sembilang, Dato’ Abdul Alim Araby Al-Kahery; Mohd. Naqi Md. Ali (Setiausaha Jawatankuasa Kariah Masjid); dan Ketua Biro Wanita Masjid Sembilang, Jamaliah Hashim turut sertai majlis sambutan tersebut.
Pertandingan mewarna dan pertandingan azan antara acara sempena penganjuran Majlis Sambutan Ambang Tahun 2024 di Masjid Sembilang, Seberang Jaya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI