SEBERANG JAYA – Seramai 40 individu berkenaan mungkin boleh menarik nafas lega apabila kerosakan rumah mereka dekat Kampung Paya, Cross Street dan Permatang Rawa akibat dipukul ribut dalam kejadian pada 28 April lepas, akan mendapat bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang hari ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata menerusi Kumpulan Wang Bantuan TYT (Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang), mereka yang berkenaan akan mendapat bantuan kewangan permulaan sebanyak RM200 sehingga maksimum RM5,000 mengikut kadar taksiran kerosakan kediaman masing-masing.
Kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu lagi, 21 mangsa bencana yang beragama Islam turut akan mendapat bantuan lain daripada sumber Zakat Pulau Pinang (ZPP) dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM21,500.
“Bantuan tunai permulaan melalui skim bantuan bencana alam daripada ZPP telah diperuntukan sebanyak RM200 kepada setiap mangsa bencana ribut dari kawasan Permatang Pasir dan Seberang Jaya.
“Baki bantuan turut diagihkan melalui pindahan akaun kepada mangsa kejadian dengan kadar antara RM600 – RM1,500 mengikut anggaran kerosakan.
“Selain itu, sumbangan turut disalurkan melalui Kumpulan Wang Bantuan TYT kepada 40 buah rumah mangsa ribut di kawasan Permatang Pasir dan Seberang Jaya dengan nilaian bantuan bermula daripada RM200 sehingga RM5,000 selaras dengan garis panduan pengurusan yang ditetapkan,” jelasnya dalam majlis penyampaian sumbangan berkaitan di perkarangan Klinik Desa Permatang Rawa di sini pada 22 Mei 2024.
Sehubungan itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu bahawa jumlah keseluruhan bantuan bencana alam daripada ZPP dan Kumpulan Wang Bantuan TYT adalah berjumlah sebanyak RM 34,900.
Ahli Dewan Negara, Amir Mohd. Ghazali; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat; Setiausaha MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi ZPP, Mohamad Khairi Ghazali; Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Seberang Jaya, Fayyadh Afiq Albakqry Jaafar Sidek; PPK Permatang Pasir, Muhammad Hamdi Md Noor; dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Muhammad Fadzli Roslan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI