TKMI bentang hasil siasatan khas, projek Jalan Berkembar Bukit Kukus dijangka siap 2020

Admin

GEORGE TOWN – Projek pembinaan Jalan Berkembar Bukit Kukus yang tertangguh dek insiden tanah runtuh pada 19 Oktober tahun lepas hatta mengorbankan beberapa jiwa, akan disiapkan oleh kontraktor sama iaitu Yuta Maju Sdn. Bhd..

 

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa perintah berhenti kerja (SWO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) sebelum ini mungkin disebabkan oleh insiden ‘kemalangan di tapak pembinaan’ semata-mata.

 

“Jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat kejadian tanah runtuh ini sahaja, tetapi kita mendapati ada beberapa insiden yang tidak mengikuti amalan terbaik pembinaan.

 

“Cuma, yang menyebabkan perintah berhenti kerja berlaku itu, itu adalah kemalangan di tapak (pembinaan).

 

“Mungkin prosedur DOSH, apabila berlaku kemalangan, mereka (DOSH) akan menggantung semua kerja-kerja (di tapak pembinaan),” jelasnya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media di Komtar pada 13 Februari 2019.

 

Sebelum itu, Ahmad Zakiyyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Bukit Kukus Kerajaan Negeri bersama-sama timbalan pengerusinya, Zairil Khir Johari membentangkan hasil siasatan lengkap berhubung insiden kemalangan di tapak pembinaan itu.

 

Turut serta, beberapa ahli jawatankuasa lain iaitu pakar hidrologi dan hidraulik dari Institut Jurutera Malaysia (IEM) Pulau Pinang, Ir. Ting Chek Choon; Ir. Yau Ann Nian (pakar geotek IEM Pulau Pinang); Ir. Baddrul H. M. Taib (pakar geologi IEM Pulau Pinang); Sr. Majmin Sayeed Ahamad (Ketua Bahagian Ukur Bahan Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang); dan Dr. Saiful Rizan Yusoff (Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, BPEN).

 

Menurut hasil laporan siasatan khas itu, antara lain menyebut kontraktor didapati membina platform tambakan dengan tidak membuat pengiraan kejuruteraan, juga didapati tiada ujian kepadatan dibuat ke atas struktur-struktur bim jalan berkembar terbabit.

 

Sumber turut melaporkan keadaan hujan lebat pada hari kejadian iaitu 55 milimiter (mm) bermula pada jam 1.45 pagi hingga 11 pagi, membawa aliran air di dalam parit, melimpah dan meresap masuk tanah timbunan, akhirnya mengakibatkan cerun tanah timbunan tidak stabil.

 

Dalam laporan sama, Ahmad Zakiyuddin menjelaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut adalah Yuta Maju Sdn. Bhd. (kontraktor); Jurutera Perunding GEA (M) Sdn. Bhd. (konsultan); G&P Professional Sdn. Bhn. (Penyemak Bebas – ICE) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selaku pemilik projek awam tersebut.

 

“MBPP telah mengambil tindakan dengan menyenaraihitamkan pihak Yuta Maju Sdn. Bhd. (kontraktor), Jurutera Perunding GEA (M) Sdn. BHd. (Konsultan), G&P Professional Sdn. BHd. (Penyemak Bebas – ICE) daripada menyertai mana-mana tender dan diarahkan menyiapkan projek ini.

 

“Dalam masa sama, Kerajaan Negeri meminta agar MBPP mempertingkatkan pengurusan di tapak bina dengan menstruktur semula pasukan pemantauan serta penyelia projek ini,” ujarnya.

 

Zairil yang Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari menyatakan bahawa projek awam yang asalnya dijadual siap pada bulan Januari lalu dijangka siap pada bulan Mei 2020.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI

Video : CHAN KOK KUAN