TKMI beri watikah pelantikan kepada 59 MPKK Daerah Barat Daya

BAYAN LEPAS – Sejumlah 59 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Peringkat Daerah Barat Daya Penggal 2019/2020 yang baru menerima watikah pelantikan pada petang ini, diharap dapat saling bekerjasama dengan Pejabat Daerah terutama para penghulu bagi mengenalpasti kawasan seliaan masing-masing.

Ketika berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa tujuan utama MPKK adalah membuat perancangan dan menggerakkan komuniti di peringkat kampung.

“Secara keseluruhan, terdapat sejumlah 59 MPKK…jumlah ini merangkumi tambahan lagi sembilan MPKK baru.

“Pertambahan ini akan menyebabkan perubahan kepada persempadanan MPKK sedia ada.

“MPKK juga merupakan perantara di peringkat akar umbi yang menyalurkan sebarang permasalahan atau aduan kepada pihak berkuasa atau pihak berkaitan, terhadap sesuatu yang timbul,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPKK Peringkat Daerah Barat Daya Penggal 2019/2020 pada 14 Februari 2019 dekat Kompleks Tabung Haji di sini.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim turut sertai majlis tersebut.

Hadir sama, Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Pengarah Tabung Haji Negeri Pulau Pinang, Abdul Shukur Jangga.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat menyatakan bahawa MPKK adalah penjenamaan semula daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

“Pengerusi dan Setiausaha akan mendapat elaun (bulanan) pada kadar sama seperti tahun lepas (2018), masing-masing RM700 dan RM600,” jelasnya yang juga ADUN Pinang Tunggal.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB