MEWARISI perniagaan ayah, ‘kopi hitam’ yang asalnya diproses dari rumah kampung dekat Tasik Cempedak di Simpang Empat Tasek; pek minimum segera jenama Guarana Cappuccino kini telah menembusi pasaran Singapura, Thailand, Brunei Darussalam serta Arab Saudi.
Pengarah Industri Terang Bulan Food Industries (M) Sdn. Bhd., Hazilah Abd. Rahman, 42, memberitahu, Guarana Cappuccino menjadi satu lagi jenama Pulau Pinang yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa serta mengharumkan nama negeri ini.
Di sebalik kejayaan itu, usahawan wanita berkenaan ada berkongsi cerita dengan wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD dalam satu sesi wawancara dekat Komtar di sini baru-baru ini.
“Dahulu, saya sendiri, selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) adalah ‘minah kilang’, pernah makan gaji sebagai operator sampai menjadi pengurus jabatan di kilang.
“Selepas itu, saya memberanikan diri untuk buang minda ‘makan gaji’ dengan cuba komersialkan ‘kopi hitam’ buatan orang kampung ini, sampai menjadi satu lagi jenama Pulau Pinang di peringkat global,” katanya.
Perkongsian kisah kejayaan usahawan wanita berkenaan sekaligus menangkis dakyah pihak tertentu kononnya Pulau Pinang ketika ini adalah negeri yang susah untuk orang-orang Melayu khususnya kaum peniaga ‘cari makan’.
Maka, tidak hairanlah, rekod pencapaian usahawan wanita kelahiran Pulau Pinang dalam membawa jenama Pulau Pinang ke peringkat antarabangsa itu juga telah menarik minat Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.
Baru-baru ini Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat bersama-sama Bahagian MMK Keusahawanan melawat sendiri kilang usahawan wanita berkenaan di No. 1937Q, Kompleks Kilang SME Bank, Jalan IKS Bukit Minyak.
Negeri Berkebajikan dan Keusahawanan
Bercakap kepada pemberita, Mohd. Rashid antara lain berkata, rekod SME Corporation Malaysia (SME Corp.) dilaporkan memberitahu sebanyak 20.6 peratus wanita di negara ini terlibat dalam bidang keusahawanan dan angka itu dijangkakan meningkat sehingga 23 peratus menjelang tahun 2020.
“Ada kira-kira 800 orang menganggotai Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pasar Malam Pulau Pinang (PPPMPP), begitu ramai…ertinya Pulau Pinang negeri tempat orang-orang Melayu cari makan juga.
“Kerajaan Negeri, di bawah (pentadbiran) Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di landasan yang betul, apabila berhasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri Berkebajikan dan Keusahawanan.
“Contohnya, Kerajaan Negeri melalui PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) sejak tahun 2009 hingga sekarang telah mengagihkan RM13.5 juta kepada 2,835 usahawan yang menyertai skim pinjaman mikro kredit PTSR (Projek Titian Saksama Rakyat), yang ketika ini 83.5 peratus peserta adalah Melayu.
“Bagi saya, usahawan wanita di Pulau Pinang ketika ini secara umum begitu berdaya saing dan salah seorang kalau boleh disebut nama adalah Pengarah Industri Guarana Cappuccino (Hazilah).
“Bayangkan ‘kopi hitam’ yang asalnya diproses di rumah, sekarang kopi serta pelbagai pek minuman keluaran Guarana Cappuccino ini sudah menjadi satu lagi ‘jenama Pulau Pinang’ di peringkat antarabangsa,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.
Hapuskan GST
Menurut Mohd. Rashid, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini sebenarnya begitu cakna dengan isuisu berkaitan peniaga kecil dan usahawan dalam menghadapi situasi ekonomi negara yang tidak menentu serta kian mencabar belakangan ini.
Selain itu, tambahnya, rakyat terutama usahawan serta peniaga kecil merupakan antara golongan yang begitu merasai beban berantai daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kita memang memerlukan sokongan semua pihak, termasuk usahawan dan peniaga-peniaga, (kenaan) 6 peratus GST ini akan kita hapuskan dalam tempoh 100 hari jika berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) ini,” jelas beliau.
Jenama Pulau Pinang Terbaik! Manakala, Hazilah dalam wawancara berasingan ada melahirkan rasa bangga kerana pek pelbagai perisa minimum segera Guarana Cappuccino berjaya menembusi pasaran antarabangsa sekaligus mengharumkan ‘jenama Pulau Pinang’.
“Sebagai anak jati Simpang Empat Tasek, tentulah saya bangga apabila Guarana Cappuccino ini dilihat sebagai jenama Pulau Pinang di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Ada banyak khasiat Guarana Cappucino ini seperti meningkatkan tenaga batin lelaki dan wanita, melancarkan sistem pencernaan, mengurangkan risiko sakit kepala (migraine), awet muda dan paling penting sangat sesuai dengan mereka yang mengidap sakit kencing manis, sendisendi, buasir dan darah tinggi,” katanya.
Selain ‘kopi putih arabika’ Guarana Cappucino, Hazilah menyatakan bahawa industri Terang Bulan turut memasarkan pek minuman segera lain seperti Hot Teh Tarik, Guarana Hot Chocolate Drink.
Tambahnya, kilang di Bukit Minyak mula dibuka pada tahun 2005 dan sehingga kini mempunyai lima pekerja tetap, tidak termasuk kakitangan-kakitangan kontrak serta agen pemasaran lain.
Harapan
Pada hujung sesi wawancara, Hazilah turut berkongsi harapan beliau terhadap Kerajaan Negeri hari ini.
“Sebagaimana disebut Dato’ Mohd. Rashid, Pulau Pinang memang mampu mencapai negeri berstatus kebajikan dan keusahawanan jika lebih banyak lagi program ekonomi dianjurkan sendiri oleh kerajaan serta agensi negeri untuk membantu usahawan khususnya daripada kalangan wanita.
“Dalam keusahawanan, sebenarnya tidak ada lelaki atau wanita, sesiapa sahaja boleh berjaya memasarkan produk tempatan sampai ke peringkat antarabangsa, asalkan berusaha, termasuk memanfaatkan peluang daripada program-program sokongan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.
“Sebagai salah seorang usahawan wanita, saya begitu berharap agar produk jenama Pulau Pinang kami ini boleh diglobalisasikan lagi, kalau boleh menembusi pasaran Indonesia hatta Eropah.
“Ekonomi, walau sebesar mana pun cabarannya, usahawan khususnya wanita mesti jangan putus asa serta cepat mengalah… buat kerja bersungguhsungguh sampai berjaya.
“Citarasa pelanggan senantiasa berubah, maka aspek pemasaran produk juga mesti lebih dinamik serta berdaya saing,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak Mohd. Rashid kerana sudi melawat kilangnya baru-baru ini.
HAZILAH ABD. RAHMAN boleh dihubungi melalui nombor telefon 016- 412 5597 atau 04 – 502 5597 (Pejabat) atau 04 – 508 0326 (faksimili) atau [email protected] atau www.terang-bulan.com.my untuk mendapatkan informasi komersial serta pertanyaan lanjut.