TKMI puji usaha PTPTN tingkatkan literasi budaya menabung masyarakat

(Belakang, dari kiri) AHMAD Dasuki Abdul Majid, Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Norliza Abdul Rahim merakamkan gambar dengan para pemenang Pertandingan Mewarna Simpan SSPN di Mydin Jalan Baru di sini pada 21 Oktober 2023.

SEBERANG JAYA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid memuji inisiatif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan Bulan Menabung SSPN (BMS) 2023 Peringkat Zon Utara di pasar raya mega Mydin Jalan Baru di sini pada 21 Oktober 2023.

DR. Mohamad Abdul Hamid

Kata Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat itu lagi, inisiatif tersebut diharap akan terus meningkatkan literasi masyarakat berkaitan budaya menabung untuk pendidikan anak-anak.

“Saya difahamkan BMS merupakan program tahunan yang diadakan selama sebulan sempena meraikan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober setiap tahun.

“Inisiatif penganjuran program ini sangat bertepatan dalam usaha meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat dan memartabatkan budaya menabung dalam kalangan anak-anak,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Maung semasa merasmikan majlis berkaitan di sini.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa sejak 19 tahun lepas hingga 30 September lepas jumlah deposit simpanan di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berjumlah RM15.94 bilion yang melibatkan 6.11 juta akaun.

Di Pulau Pinang sahaja, beliau memberitahu bahawa bagi tempoh sama jumlah deposit SSPN yang diterima adalah sebanyak RM1.83 bilion dengan 321,991 akaun.

“Prestasi ini membuktikan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik pilihan ibu bapa,” jelasnya.

NORLIZA Abdul Rahim

Berucap sebelum itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata pada hari ini BMS 2023 dianjurkan secara serentak di tiga negeri lain iaitu Perak, Kedah dan Perlis.

Tambah beliau, sehingga 30 September lepas PTPTN telah membantu seramai 3.86 juta pelajar melibatkan dana pinjaman yang dikeluarkan berjumlah RM70.48 billion.

“Inilah antara sumbangan besar PTPTN dalam pembangunan modal insan negara,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata PTPTN akan terus memupuk budaya menabung dengan memperkenalkan Modul Kelab Menabung Simpanan Pendidikan di bawah kokurikulum Kelab Kewangan Pelajar Peringkat Sekolah Rendah.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; dan Pengarah Negeri bagi Pejabat PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman turut sertai majlis tersebut.

Serentak pada majlis sama, Mohamad dengan diiringi Norliza dan Ahmad Dusuki turut menyerahkan replika cek sumbangan RM1,200 kepada tiga sekolah rendah perintis berkaitan yang terlibat dalam penubuhan Kelab Kewangan Pelajar masing-masing.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB