TM Pulau Pinang sedia kerjasama, sokong Visi Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM) Berhad Pulau Pinang, Mohd. Hasrul Nizam Md. Hashim Nordin dekat pejabatnya di Komtar.

Hadir sama, Pengurus Kawal Selia & Libat Urus TM Pulau Pinang, Zuraini Mohammad.

Dalam pertemuan tersebut, perbincangan adalah menyentuh mengenai potensi untuk meluaskan kerjasama strategik yang sedia terjalin selain meneroka peluang-peluang baharu dalam pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi.

Malah, Mohd. Hasrul Nizam juga membentangkan status semasa penggunaan serta liputan jaringan telekomunikasi dalam negara dan Pulau Pinang khasnya.

MOHD. Hasrul Nizam Md. Hashim Nordin (kiri) ketika membentangkan mengenai hala tuju dan perancangan pembangunan infrastruktur telekomunikasi TM Berhad Pulau Pinang kepada Ketua Menteri.

Menurut Mohd. Hasrul Nizam, pengguna yang melanggan perkhidmatan di bawah TM bertambah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila hampir kebanyakan sektor mengimplementasikan konsep Bekerja dari Rumah (BDR) serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bukan itu sahaja, malah penggunaan dari segi kapasiti megabit per saat (Mbps) turut menunjukkan pertambahan.

“(Dan) pihak TM mengambil inisiatif menaik taraf infrastruktur dan memperkenalkan beberapa inisiatif lain melalui pakej serta rebat yang ditawarkan, mengadakan latihan bagi membantu usahawan kecil serta program penjimatan dan pengurusan sisa,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Mohd. Hasrul Nizam turut menzahirkan keterujaan apabila diberi peluang berkhidmat di Pulau Pinang sejak 1 Jun 2021 menggantikan mantan Pengurus Besar TM Pulau Pinang, Kelvin Lee Tsuan Chin yang kini bertukar ke ibu pejabat TM Berhad di Kuala Lumpur.

Pulau Pinang antara yang terawal menerima rangkaian 5G di negara ini, dan menjadi negeri yang 100 peratus mempunyai capaian fiberasi jalur lebar dengan liputan melebihi 1,000 kilometer.

MOHD. Hasrul Nizam bin Md. Hashim Nordin merupakan Pengurus Besar TM Berhad Pulau Pinang yang baharu.

“Infrastruktur dan ketersambungan perkhidmatan telekomunikasi di Pulau Pinang adalah amat baik yang mana Pulau Pinang lebih arif dalam revolusi pintar.

“(Dan) pihak kami juga sentiasa menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Visi Penang2030 dengan menjayakan inisiatif pintar seperti tiang jalan pintar, pertanian pintar, penyelesaian letak kereta pintar dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pengecaman wajah.

“(Tambahan pula) Pulau Pinang juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA),” katanya.

 

Sementara itu, Kon Yeow berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri dan TM Berhad Pulau Pinang dapat memberikan liputan yang lebih meluas serta pengalaman kualiti jalur lebar lebih baik untuk rakyat di samping merevolusikan perkhidmatan telekomunikasi dan inisiatif pintar di negeri ini.

Sebagai rekod, TM Berhad Pulau Pinang merupakan salah satu rakan strategik dalam penyediaan dan pembangunan infrastruktur serta perkhidmatan telekomunikasi di negeri ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI