‘Tokun Top’, promosi Cheruk Tokun lokasi baharu penggemar durian

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) dengan diiringi Ketua Menteri (kanan) dan Azhar Arshad (kiri) semasa menyempurnakan acara melafaz perasmian Pesta Durian Bukit Mertajam 2023 di perkarangan pasar raya mega Mydin Jalan Baru di sini pada 24 Jun 2023.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) buat julung kali menganjurkan Pesta Durian Bukit Mertajam selama dua hari mulai 24 Jun 2023, dengan sokongan Kerajaan Negeri serta kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang.

Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri dengan diiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad menyempurnakan majlis perasmian yang berlangsung di perkarangan hadapan pasar raya mega Mydin Jalan Baru dekat sini pada 24 Jun 2023.

Semasa berucap, Kon Yeow berkata bahawa penganjuran pesta tersebut adalah istimewa kerana turut mempromosi durian Tokun Top (Durio zibethinus) dengan rujukan nombor pendaftaran D220.

“Varieti durian (Tokun Top) ini adalah dari Tokun Top, Mukim 17 Seberang Perai Tengah (SPT).

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap dengan pengenalan (varieti Tokun Top) ini, ia akan membuka lembaran baharu bukan sahaja kepada pemilik dusun ini, tetapi juga dalam usaha mempromosi Cheruk Tokun sebagai lokasi baharu penggemar durian,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

SUASANA di gerai pameran yang dibuka seusai acara perasmian pembukaan Pesta Durian Bukit Mertajam 2023 di sini pada petang tadi.

Menurut beliau lagi, dengan promosi Tokun Top berkaitan, ia menambahkan lagi tarikan para penggemar durian untuk ke negeri Pulau Pinang yang sebelum ini terkenal dengan ‘durian Balik Pulau’ dan durian baka duri hitam ayam ‘orchee’ yang didaftarkan dekat Nibong Tebal.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Baderul Amin Abdul Hamid merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis perasmian pesta durian tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD