Tol Jambatan Kedua P. Pinang lebih RM9.40?

GEORGE TOWN – Adakah kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) bercadang menaikkan harga tol Jambatan Kedua Pulau Pinang (JKPP) lebih tinggi daripada RM9.40 merupakan persoalan diutarakan Ketua Menteri dalam kenyataannya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, sekiranya ia dilaksanakan, maka, yang pasti kadar tol Jambatan Pertama Pulau Pinang (JPPP) yang kini pada tahap RM7 juga turut akan dinaikkan.

Persoalan tersebut diutarakan beliau ekoran keengganan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor menjawab soalannya di Parlimen tentang kadar tol yang bakal dikenakan sebaik JKPP dibuka untuk lalulintas pada Nov 2013.

Dalam pertanyaan lisan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan bertarikh 26 November lalu di Parlimen adalah seperti berikut :

YB TUAN LIM GUAN ENG minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan tol yang akan dikenakan untuk Jambatan Kedua Pulau Pinang. Bilakah ia akan siap dan akan dibuka untuk kegunaan awam. Nyatakan juga kos perkembangan
pembinaan jalan-jalan penghubung dari Jambatan Kedua Pulau Pinang yang mendarat di Batu Maung ke George Town dan ke Balik Pulau, tarikh ia siap, kos pembinaan dan kepada kontraktor mana. Adakah projek ini akan siap serentak atau selepas Jambatan Kedua Pulau Pinang siap.

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, sehingga 31 Oktober 2012, kemajuan fizikal keseluruhan projek membina Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah mendahului jadual, iaitu 84% telah siap berbanding 82% mengikut jadual asal. Berdasarkan perancangan oleh syarikat konsesi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), projek dengan nilai kos RM4.5 billion itu dijangka akan siap keseluruhannya pada bulan September 2013 dan akan dibuka kepada lalulintas pada bulan November 2013. Manakala, kadar tol untuk Jambatan Kedua Pulau Pinang akan diumumkan setelah keseluruhan projek ini disiapkan kelak.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas yang dijangka berlaku apabila Jambatan Kedua Pulau Pinang dibuka kelak, Kerajaan Persekutuan secara prinsipnya telah bersetuju untuk menaik taraf 3 jalan utama di bahagian pulau dengan anggaran kos projek keseluruhan sebanyak RM780 juta.

Ketiga- tiga cadangan projek jalan terlibat ialah menaik taraf Jalan Persekutuan FT 3113 dari Batu Maung ke Jambatan Pulau Pinang sepanjang 4.5 kilometer; menaik taraf Jalan Negeri P10 dari Batu Maung ke Jalan Sultan Azlan Shah sepanjang 6 kilometer dan menaik taraf Jalan Persekutuan FT06 dari Teluk Kumbar ke Bayan Lepas sepanjang 2.7 kilometer. Berdasarkan perancangan dan semakansemula oleh kementerian ini, ketiga- tiga projek itu akan dimulakan selewat- lewatnya pada akhir tahun ini (2012) dan dijangka siap secara berperingkat- peringkat, iaitu dalam tempoh 18 bulan. Pada masa kini reka bentuk projek-projek berkenaan sedang di peringkat akhir sebelum proses memanggil tender dibuat.

Oleh itu, sementara menunggu projek – projek tersebut disiapkan, kementerian ini akan meningkatkan aspek sistem pengurusan trafik (traffic management), khususnya di Jalan Batu Maung ke Jambatan Pulau Pinang. Ia bertujuan untuk melicinkan pergerakan aliran trafik di laluan berkenaan dan seterusnya mengurangkan impak kesesakan lalu lintas. Sekian. Terima kasih.

Jawapan bertulis yang diberikan kementerian berkaitan adalah :

Kata Guan Eng, berdasarkan jawapan bertulis tersebut, Shaziman hanya menyatakan bahawa kadar tol tersebut hanya akan diumumkan setelah keseluruhan projek disiapkan kelak pada September 2013.

“Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan BN pernah menyatakan bahawa kadar tol JKPP telahpun ditetapkan pada harga RM9.40.

“Ini bermakna bahawa kadar tol untuk JPPP akan dinaikkan daripada RM7 kepada RM9.40 kerana tidak ada sesiapa akan gunakan Jambatan Kedua (JKPP) sekiranya kadar tolnya jauh lebih tinggi daripada Jambatan Pertama (JPPP).

“Malah, berkemungkinan besar pengguna kenderaan akan lebih memilih Jambatan Pertama (JPPP) sungguhpun kadar tol kedua-dua jambatan adalah sama kerana jarak Jambatan Kedua (JKPP) sepanjang 23.5 kilometer (km) adalah lebih panjang dan memakan duit minyak berbanding dengan Jambatan Pertama (JPPP) sepanjang 13km,’’ tegas beliau.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri memang mengalu-alukan keputusan kerajaan persekutuan meluluskan RM780 juta untuk menaiktaraf tiga jalan utama penghubung kepada JKPP di Batu Maung, sungguhpun ia lewat bermula dan hanya akan siap pada pertengahan 2014 iaitu sembilan bulan lebih lewat daripada siapnya JKPP pada Nov 2013.

GAMBAR fail JKPP yang dirakam Buletin Mutiara pada 4 Oktober lalu.
GAMBAR fail JKPP yang dirakam
Buletin Mutiara pada 4 Oktober lalu.

jambatanKeduaPPinang-4Oktober2012