GEORGE TOWN – Lesen pendudukan sementara (TOL) khusus untuk tujuan keagamaan bakal diwartakan secara perundangan di Pulau Pinang tidak lama lagi, dengan kadar bayaran sedia ada tidak akan dinaikkan oleh Kerajaan Negeri pada masa depan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian sebagai mengulas isu sebuah tokong dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pengkalan Kota di sini yang dikenakan kadar bayaran TOL sebanyak RM2,500 pada tahun ini, berbanding lebih RM200 sahaja tahun lepas.
Menurutnya, isu tersebut timbul disebabkan tokong tersebut berada atas tanah TOL, yang berstatus komersial sebelum ini.
“(Kadar baru RM2,500 yang dikenakan ke atas tokong) itu ikut spesifikasi komersial kerana sebelum ini tidak pernah ada kategori keagamaan untuk TOL.
“Saya telah minta suatu kategori baru dibuat untuk membolehkan TOL bagi tujuan keagamaan kekal dengan kadar (bayaran) lama.
“Tunggu sehingga pewartaan yang baru, barulah bayar ikut kadar lama, (manakala) bagi yang telah membayar mengikut kadar TOL baru akan dipulangkan dalam (bentuk) rebet,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada sidang media di sini baru-baru ini.
Penjelasan Guan Eng itu turut disampaikan secara langsung kepada pihak yang mula-mula membangkitkan isu tersebut kepada media arus perdana tertentu baru-baru ini, iaitu Pengurus Tokong Sun Hai Yim Yeong Lian, Ooi Hock Keong, 54.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee turut menyertai sidang media tersebut.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut menafikan dakwaan pihak tertentu di akhbar mesra pembangkang Pulau Pinang, kononnya Kerajaan Negeri turut menaikkan cukai tanah di negeri ini.
“TOL untuk perindustrian dan komersial sahaja yang naik, tetapi untuk tujuan keagamaan tak naik.
“Cukai tanah pun, kita (Kerajaan Negeri) tak naik langsung,” tegas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih, sambil mengkritik media arus perdana tertentu yang didakwa seakan mengelirukan isu pokok sebenar.
Guan Eng bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada pihak yang membangkitkan isu kenaikan kadar bayaran TOL untuk keagamaan, hingga membolehkan mutu tadbir urus Kerajaan Negeri terus diperbaiki.if (document.currentScript) {