PENGKALAN KOTA – Rakyat Pulau Pinang dinasihati supaya menolak pihak-pihak yang menggunakan isu perkauman dan agama sebagai bahan kempen untuk meraih undi pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan bahawa tindakan sedemikian dikhuatiri boleh memecahbelahkan rakyat sebagaimana yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur pada era 1980-an.
“Kalau hendak mengkritik Kerajaan Negeri Pulau Pinang, banyak perkara boleh dikritik seperti manifesto (Perpaduan Pulau Pinang 2023) yang kita bentangkan, Visi Penang2030 dan janji semasa PRN 2018.
“Semua isu-isu dasar ini boleh dikritik habis-habisan, tetapi nampaknya mereka tidak dapat mengkritik (aspek dasar) sebaliknya menggunakan isu-isu kaum dan agama untuk meraih sokongan pengundi khusus pengundi Melayu,” katanya semasa berucap pada majlis Pelancaran Pusat Operasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kota di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; calon DUN Komtar, Teh Lai Heng serta calon DUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang turut menyeru seluruh jentera Kerajaan Perpaduan supaya sentiasa bekerja keras untuk mencapai kemenangan dan mentadbir Pulau Pinang bagi penggal keempat.
“Walaupun kita mendapati calon-calon pembangkang masih belum giat berkempen namun bagi pihak DAP, saya ingin mneyeru semua jentera baik dari PH mahupun Barisan Nasional untuk terus berkempen habis-habisan sehingga kita peroleh kemenangan pada 12 Ogos nanti,” serunya.