KUCHING – Atlet renang negeri, Tong Yu Jing mengakhiri perlumbaan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong dengan memecahkan rekod Sukan Malaysia (Sukma) dalam acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki sekali gus meraih pingat emas.
Rakan sepasukannya, Chris Chew Vi Min pula berjaya meraih pingat perak.
Ketika ditemui Buletin Mutiara, Yu Jing berkata dia hanya meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas.
Namun kata Yu Jing, dia tidak menyangka bahawa dia bukan sahaja telah memenangi pingat emas dengan catatan masa 23.06 saat tetapi juga berjaya mencipta rekod baru dalam temasya kali ini.
“Saya memang suka berenang dan mula belajar berenang daripada kakak sejak ketika berumur lapan tahun.
“Sejak itu, saya telah mengembangkan lagi minat dalam sukan renang sehingga berjaya memperoleh pingat emas pada hari ini,” katanya dalam nada teruja.
Yu Jing berkata, dia akan terus berusaha keras bagi melunaskan impiannya untuk mengharumkan nama negara di Sukan SEA pada masa akan datang.
“Saya akan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai impian ini,” katanya.
Pada Sukma kali ini, skuad renang negeri berjaya menamatkan saingan dengan meraih satu pingat emas, empat pingat lerak dan 11 gangsa.
Turut berlangsung hari ini adalah acara ping pong yang menyaksikan Pulau Pinang berjaya meraih pingat perak dalam kategori beregu wanita.
Dalam acara yang berlangsung dekat Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua 3, regu Pulau Pinang yang menampilkan Look Lee Peng dan Lim Xi Qian gagal menewaskan pencabar dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekali gus meraih pingat perak.
Sementara itu, dalam acara bola keranjang yang berlangsung di Stadium MBKS dekat sini menyaksikan pasukan Pulau Pinang memperoleh pingat gangsa selepas mewaskan Melaka dengan keputusan 13-12.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MSNPP