Toray, Boon Siew Honda sumbang dana ke Tabung COVID-19 Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Toray Group Malaysia (Toray), sebuah firma pembuatan dan pengeluar pelbagai produk gentian poliester dan tekstil dari Jepun, hari ni menyumbang sebanyak RM1 juta ke Tabung COVID-19 Pulau Pinang.

 

Pengarah Urusan Toray Industries Malaysia Sdn. Bhd., Datuk Teh Hock Soon berkata bahawa adalah penting untuk pihaknya bertindak balas terhadap keperluan segera Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyediakan lebih banyak kemudahan dengan peralatan perubatan yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan kesihatan awam pada masa kritikal kini.

 

SUMBANGAN RM1 juta daripada Toray Group Malaysia ke Tabung COVID-19 Pulau Pinang.

Toray bersolidariti bersama-sama seluruh rakyat Pulau Pinang untuk mengurangkan impak akibat COVID-19.

 

 

 

 

“(Dan) pihak kami percaya bahawa kita semua perlu bersama-sama memerangi wabak ini serta menghulurkan bantuan dan sokongan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara,” katanya yang juga merupakan Ketua Wakil Toray di Malaysia pada acara simbolik penyerahan sumbangan dekat Komtar tadi.

 

Hadir mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang ialah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

 

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

 

Turut serta ialah barisan Pengarah Urusan Toray, Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Pentadbiran Toray, Gor Siew Yeng; Perunding Kanan Urusan Korporat Toray, Datuk Hun Keng Kuan dan mantan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Seri Ooi Eng Hock.

 

Dalam sidang media sama, Boon Siew Honda yang diwakili Pengerusinya, Datuk Sri Datuk Wira Tan Hui Jing turut mengumumkan pemberian dana berjumlah RM100,000 ke tabung yang sama.

Ketua Menteri menerima cek cura berjumlah RM100,000 daripada wakil Boon Siew Honda.

 

Sumbangan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang melawan COVID-19.

 

“Pihak kami berharap melalui sumbangan ini, keadaan akan kembali pulih dan pihak kami akan sedia membantu menjayakannya,” jelasnya.

 

Selain Hui Jing, turut hadir mewakili syarikat Boon Siew Honda ialah Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya, Yoshita Nakamura dan Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran, Voon Yin Kong.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow merakamkan penghargaan atas sumbangan dana berkaitan ke Tabung COVID-19 Pulau Pinang.

 

Sejak tabung (Tabung COVID-19 Pulau Pinang) tersebut diwujudkan, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk wang ataupun lain-lain bantuan dalam usaha membantu Kerajaan Negeri melawan COVID-19 di negeri ini.

 

“Ada juga sebahagian penyumbang yang terus menghulurkan bantuan ke Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), hospital atau klinik kesihatan (di negeri ini) bagi memenuhi keperluan perubatan semasa.

 

“(Dan) kita berharap usaha ini akan membuahkan hasil dalam usaha kita melawan COVID-19,” ujarnya.

 

Difahamkan, dana dari Tabung COVID-19 Pulau Pinang turut digunakan untuk mengurangkan bebanan golongan paling terkesan di negeri ini.

 

KETUA Menteri bersama-sama Ooi Eng Hock (kiri sekali) dan Chong Chun Shiong (dua dari kiri) serta Phee Boon Poh (dua dari kanan) dan Dr. Norlela Ariffin menunjukkan peranti oximeter pada sidang media di Komtar.

 

Sementara itu, usai sidang media tersebut, Kon Yeow sekali lagi menerima sumbangan 2,000 unit peranti oximeter bernilai RM52,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Solar Holding, Chong Chun Shiong dan Eng Hock yang mewakili Menara Kerjaya sebagai Pengarah Urusan.

 

Sebagai rekod, sejak awal September ini, Kerajaan Negeri telah menerima sebanyak 4,225 unit peranti oximeter bagi memenuhi keperluan semasa dalam melawan COVID-19.

PERANTI oximeter yang diterima daripada penyumbang.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD