TPM80PP belanja lebih RM100 juta selenggara projek perumahan demi selesa rakyat

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) yang ditubuhkan sejak tahun 2014 telah membelanjakan lebih RM100 juta untuk menyelenggara skim-skim perumahan kos rendah dan sederhana rendah di seluruh negeri ini.


Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa TPM80PP ditubuhkan ekoran Kerajaan Negeri cakna akan nasib penghuni membabitkan skim-skim perumahan tersebut yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40.

 

“Atas kesedaran ini, walaupun perlu sumber kewangan perlu dicari, kita (Kerajaan Negeri) mulakan program untuk membantu rakyat jelata sejak 2014 lagi.

 

“Sehingga kini, sudah masuk lapan tahun kita melaksanakan program sedemikian, wang yang dibelanjakan Kerajaan Negeri sudah lebih RM100 juta.

 

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri prithatin membantu golongan berpendapatan rendah memperbaiki kemudahan-kemudahan di perumahan mereka seperti kerja-kerja mengecat, membaiki lif, membaiki tangki, parit, menggantikan bumbung dan sebagainnya yang merupakan perkara-perkara kritikal untuk keselesaan penduduk,” ujarnya pada Majlis Penyempurnaan Pengecatan Semula dan Pembaikan Kritikal di Flat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Jalan Tengah Bersempena Jelajah ❤️PENANG Ke Parlimen Bayan Baru di sini hari ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Seri Saifuddin Nasution; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

 

Menurut Kon Yeow, beliau dimaklumkan bahawa projek pengecatan serta pembaikan kritikal melibatkan pembaikan bumbung dan paip di 12 blok Flat PDC Jalan Tengah telah disiapkan pada tahun lalu.

 

 

“Saya amat berpuas hati dengan hasil kerja bagi projek pengecatan dan pembaikan kritikal ini, dan berharap agar para penghuni terutamanya dapat memberikan kerjasama yang baik daripada aspek kebersihan serta keselamatan bersama.

 

 

“Jumlah keseluruhan kos yang terlibat ialah RM1,349,715.20 dan dibiayai mengikut kaedah pembiayaan 80 peratus oleh PDC  bersamaan RM1,079,772.10; Kerajaan Negeri (10 peratus atau bersamaan RM134,971.52) manakala Ahli Parlimen Bayan Baru, ADUN Pantai Jerejak dan penduduk (10 peratus, RM134,971.52),” ulasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR