PAYA TERUBONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap penduduk Desa Baiduri Blok 1A dan 1B dapat bersabar dengan kerja-kerja pengecatan yang sedang berjalan demi manfaat serta keselesaan masa depan.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kerja-kerja Mengecat Semula Blok 1A dan 1B Desa Baiduri Paya Terubong di sini petang tadi.
“Melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) yang sudah lama dilancarkan oleh Kerajaan Negeri, kerja-kerja naik taraf seperti ini turut melibatkan peruntukan penduduk itu sendiri.
“Dengan sumbangan Kerajaan Negeri dan wakil rakyat, maka kita boleh hidup lebih selesa dengan kemudahan-kemudahan yang dinaik taraf.
“Jadi saya harap penduduk-penduduk akan menjaga sebaik mungkin kemudahan-kemudahan yang ada kerana ia adalah milik semua,” ujarnya yang dalam Siri Jelajah ❤️PENANG bagi Parlimen Bukit Gelugor di sini.
Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Keeatif, Yeoh Soon Hin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
Dalam destinasi terakhir Jelajah ❤️PENANG hari ini, rombongan Kon Yeow turut berkunjung ke Jalan Tingkat Paya Terubong 2 bagi merasmikan Pusat (Kontena) Aktiviti MPKK@Foodbank.
Melalui sumbangan Soon Hin dan Ramkarpal, dana RM40,000 digunakan bagi menaik taraf kemudahan tersebut yang beroperasi setiap Isnin jam 7:30 malam hingga 9:30 malam.
Kesempatan sama, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut mengedar bahan mentah dan makanan Foodbank kepada penduduk setempat.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SIEW CHIA EN & ALISSALA THIAN