Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
BAYAN BARU – Bagi memperhebatkan promosi penganjuran 5th Tourism Promotion Organization for Asia Pasific Forum 2012 (TPO Forum 2012) yang berlangsung pada 17 hingga 20 September lalu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil inisiatif khas ‘membalut’ lapan buah bas di sini baru-baru ini.
Pelancaran inisiatif tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Pelancaran Program Publisiti ‘ Wrap Up Bus’ di sebuah pusat membeli-belah di sini.
Guan Eng berkata , penganjuran tersebut merupakan julung kali diadakan di dalam negara. Ini bermakna, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang terpilih.
“Bersempena itu, seramai 27 bandar yang menjadi ahli Tourism Promotion Organization For Asia Pacific berada di Pulau Pinang.
“Turut difahamkan adalah seramai tujuh Datuk Bandar dan beberapa delegasi dari bandar yang menjadi ahli TPO akan berkampung di sini sepanjang berlangsungnya forum berkenaan,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Program Publisiti ‘Wrap Up Bus’ TPO FORUM 2012 di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Yang Dipertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Pengarah Rekreasi, Pelancongan Dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha dan Ahli-ahli Majlis MPPP.
Tambah beliau, bersempena penganjuran tersebut, MPPP telah menyenaraikan beberapa program untuk disertai barisan delegasi yang hadir.
“Antaranya adalah Festival TPO di Upper Penang Road, Majlis Penanaman Pokok dan Perasmian TPO Sculpture di TPO Friendship Park, lawatan teknikal, Majlis Perasmian Graffiti Park di Taman Perbandaran dan Declaration of the Green Initiatives in the World Heritage Sites di Friendship Park.
“ Diharap dengan penganjuran 5th TPO FORUM 2012 ini, Pulau Pinang akan menjadi destinasi terunggul di Malaysia dan rantau Asia Pasifik untuk program-program berbentuk MICE (Meetings, Incentive, Conference and Exhibitions ) di masa akan datang,” ujarnya.