TPS Jalan Utama dinaiktaraf

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

DATOK KERAMAT – Demi rakyat, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) terus komited mengambil inisiatif khas menaiktaraf kompleks makanan di sini dengan projek ke-10 membabitkan Tapak Penjaja Sementara (TPS) di Jalan Utama (belakang Hospital Besar Pulau Pinang) di sini.

Yang DiPertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail menyatakan bahawa projek naiktaraf kompleks makanan yang ke-10 tersebut membuktikan bahawa MPPP peka terhadap keperluan penjaja di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru para penjaja supaya meningkatkan tahap kebersihan selain inisiatif MPPP yang akan memasang perangkap minyak di laluan longkang bagi mengelakkan ianya tersumbat serta kotor.

Kerja naiktaraf TPS Jalan Utama adalah berdasarkan permintaan dan keperluan reka bentuk bersesuaian dengan aktiviti harian para penjaja di sini.

TPS berkonsepkan penjaja lazimnya wujud sejak tahun 1990- an dengan terbahagi kepada Zon A dan Zon B.

Bagi Fasa I, ia adalah melibatkan Zon A yang membabitkan 25 penjaja daripada jumlah keseluruhan 50 penjaja di kedua-dua zon.

Kos kerja menaiktaraf Zon A adalah berjumlah RM 336,398.00 dan dibiayai MPPP. Kerja-kerja yang bakal mengambil masa selama lapan bulan itu telah dimulakan sejak 27 Ogos lalu.

Bagi Zon B, ia dalam proses tender terbuka. Kompleks makanan baru terbabit bakal menggunakan bumbung baharu berbilang tingkat
bagi pengalihudaraan yang baik; lantai berkonsepkan imprint concrete bagi mengelakkan kelicinan lantai; gerai dilengkapi pendawaian baru; perpaipan baru; dinding berjubin; sinki; tingkap gelongsor; perangkap minyak dan sampah bagi memudahkan kerjakerja pembersihan dan nilai estetika.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Naiktaraf TPS Jalan Utama turut menyatakan bahawa pendekatan yang diambil berhubung pelaksanaan projek berkenaan adalah selaras dengan dasar yang diamalkan Kerajaan Negeri, iaitu Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang mengutamakan kehendak rakyat.
Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo, ADUN Pulau Tikus, Koay Teng Hai dan Ahli Majlis MPPP Ong Ah Teong.
Sehubungan itu, Jagdeep berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah kesesakan trafik di sini yang disebabkan masalah parkir dan lain-lain bagi menjamin keselesaan pengunjung di kompleks tersebut kelak.

tapakpenjajajalanutama

PEGAWAI dan kakitangan MPPP bergambar bersebelahan pelan lakaran projek pada Majlis Perasmian
Pelancaran Naikraraf TPS Jalan Utama di sini baru-baru ini.