TPS Jalan Utama kini selesa & bersih

RUPA bentuk baru TPS Jalan Utama.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MARK JAMES

DATUK KERAMAT – Penantian 50 penjaja di Tapak Penjaja Sementara (TPS) Jalan Utama (belakang  Hospital Besar Pulau Pinang) di sini untuk menikmati dan berniaga di gerai yang lebih selesa dan bersih kini menjadi kenyataan hasil inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini.

Dengan peruntukan sebanyak RM336,398 (Fasa 1) dan RM448,824.50 (Fasa 2), TPS popular berusia lebih 16 tahun (mengikut rekod bertulis MPPP) yang kini siap diubahsuai menggunakan reka bentuk khas diharap mampu menjadi contoh serta model kepada tapak-tapak penjaja lain di negeri ini.

Malah, rata-rata peniaga yang ditemui pada majlis pelancarannya baru-baru ini menyambut baik dan berpuas hati dengan perubahan serta penaiktarafan yang dilakukan.

Salah seorang peniaga nasi Melayu, Mohd. Jamil Mamat, 53, berkata, penaiktarafan tersebut adalah perubahan positif yang memberi impak besar kepada mereka golongan peniaga di situ.

“Gerai dah berubah. Dulu tak elok sekarang dah jadi elok, dulu panas sebab bumbung rendah tetapi sekarang dah tak panas. Dulu kotor sekarang dah bersih.

Malah, jualan seharian kami (para peniaga) meningkat berbanding dulu.

“Terima kasih pada Kerajaan Negeri, MPPP dan YB Jagdeep (Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo).

“Harap para penjaja di sini samasama menjaga kebersihan sepertimana yang dilaungkan Ketua Menteri dan jadikan tapak penjaja ini sebagai contoh,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Baru-baru ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, iaitu Jagdeep, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari serta Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye hadir merasmikan TPS Jalan Utama setelah selesai dinaiktaraf.

TPS Jalan Utama merupakan projek naik taraf kompleks makanan yang ke- 10 oleh MPPP.

TPS berkonsepkan penjaja lazimnya wujud sejak tahun 1990-an dengan terbahagi kepada Zon A dan Zon B.

Kompleks makanan baru terbabit mengaplikasikan bumbung baharu berbilang tingkat bagi pengalihudaraan yang baik; lantai berkonsepkan konkrit bercetak bagi mengelakkan kelicinan lantai; gerai dilengkapi pendawaian baru; perpaipan baru; dinding berjubin; sinki; tingkap gelongsor; perangkap minyak dan sampah bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dan nilai estetika.

Bagi peniaga minuman K. Krishnan, 52, ternyata berpuas hati setelah gerainya dinaiktaraf.

“Selama saya berniaga di sini sejak datuk, ayah hinggalah saya dalam tempoh 45 tahun, gerai di sini tidak pernah dinaiktaraf oleh kerajaan lama.

“Bersyukur kepada Kerajaan Negeri dan MPPP yang berjaya melakukan pembaharuan di sini. Kini, kami lebih bersemangat untuk berniaga.
Kedai pun bertambah bersih, harap pelanggan pun semakin ramai nanti,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Aing Thye berkata, pihaknya (MPPP) akan terus konsisten dalam menaiktaraf dan memberikan keselesaan tapak penjaja di negeri ini.

“Sejumlah RM27 juta telah diperuntukkan oleh MPPP selama lima tahun bermula pada 2009 hingga 2013 bagi kerja-kerja menaiktaraf tapak penjaja sementara (TPS), pasar dan kompleks makanan di negeri ini,’’ jelasnya.

Dalam ucaptama, Guan Eng menekankan bahawa hasrat Kerajaan Negeri melalui MPPP sebagai badan pelaksana bukan sahaja untuk menaiktaraf semata-mata, bahkan lebih daripada itu iaitu mengharapkan satu keadaan yang lebih selesa dan bersih kepada 50 orang penjaja untuk berniaga.

“Jika dulu penjaja terpaksa berniaga dalam keadaan yang tidak bersih dan sebagainya, tetapi kini mereka (penjaja) boleh berniaga dengan lebih tenang dan bermaruah berbanding dahulu yang hanya berniaga ikut nasib.

“Perubahan yang kita lakukan adalah berhemah dan bertimbang rasa. Bukan sahaja nak lihat perubahan di peringkat atasan, tetapi, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat ingin juga lihat perubahan di peringkat bawahan,” kata beliau.