BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap tradisi iftar atau majlis berbuka puasa yang diadakan peringkat komuniti sempena menyambut bulan Ramadan akan terus menjadi platform perpaduan rakyat berbilang kaum.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata demikian semasa berucap dalam Acara Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan Dan Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Pangsapuri Suria 1 (Hijau e-Komuniti) Batu Kawan di sini pada 2 April 2023.
Sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan yang baharu, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau akan berusaha memastikan segala perancangan jangka panjang peringkat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Batu Kawan dan kawasan sekitar sebagai bandar eko-hijau pada masa masa hadapan.
“Saya kira inilah keunikan yang harus diraikan secara bersama, selain menjadi platform untuk menjalin hubungan dua hala, memperkuatkan persaudaraan dan semangat silaturrahim antara umat Islam.
“Saya harap program seumpama (iftar) ini menjadi suatu platform bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dalam majlis berkaitan di sini pada 2 April 2023.
Berucap sebelum itu, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkata bahawa dwi acara komuniti yang dianjurkan di sini adalah kolaborasi antara Pusat Khidmatnya bersama-sama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Kawan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
Di samping itu, beliau berharap program agihan makanan kepada golongan terpilih peringkat lokal sedikit sebanyak membantu mereka mengharungi ibadah berpuasa sepanjang bulan Ramadan kali ini.
Difahamkan, kira-kira 200 penduduk lokal yang berbilang kaum menyertai majlis berbuka puasa di sini sebentar tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD