BAGAN JERMAL – Upacara ritual melepaskan ikan keli baka asing dari Afrika pada jumlah yang banyak ke dalam Sungai Perai sejak 2002 boleh mengakibatkan ekosistem habitat tempatan kian terjejas.
Justeru, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, pemeriksaan berwajib yang dilaksanakan Jabatan Perikanan Negeri mendapati Sungai Perai kini didominasi habitat ikan keli asing tersebut, hatta membahayakan ekosistem di sungai berkenaan.
Lanjutan itu, Afif menasihatkan supaya kumpulan yang melaksanakan upacara ritual dipercayai di sebuah kuil, Taman Sentral dekat Mak Mandin di sini supaya melepaskan ikan baka tempatan sahaja pada masa hadapan.
“Ikan keli asing ini adalah karnivor, apabila dilepaskan terlalu banyak akan menjadi haiwan pemangsa dalam rantaian makanan serta akan memakan hidupan laut lain, seperti ikan-ikan kecil dan udang tempatan.
“Kita tidak pernah menghalang mereka daripada melaksanakan nazar melalui upacara ritual sebegini atas kepercayaan masing-masing bahawa ia boleh memanjangkan umur.
“Tetapi, gantikan ikan keli Afrika ini dengan melepaskan spesies tempatan seperti ikan lampam (ikan duri) atau udang (baka tempatan) yang dibenarkan ke dalam sungai,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya ketika mengadakan lawatan ke kuil berkaitan di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Noraisyah Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Afif memberitahu, Jabatan Perikanan Negeri akan memacak papan tanda informasi mengenai larangan melepaskan 34 spesies ikan baka asing yang mampu menjejaskan ekosistem sungai di sini.
“Kita harap dapat kerjasama daripada semua pihak dan orang awam di sini demi memulihara ekosistem habitat sungai kita,” serunya.
Dalam perkembangan lain, Afif menyatakan bahawa Jabatan Perikanan Negeri sepanjang tahun lepas, direkodkan membelanjakan sejumlah RM130,000 dengan melepaskan ikan dan spesis hidupan laut lain, termasuk 152,000 anak udang galah demi memulihkan ekosistem air di negeri ini.