‘Trak info dakwah Islam’ IPSI babit RM295,000 dana zakat ZPP, kata wakil TKMI

Admin
ACARA gimik perasmian dan penyerahan replika kunci ‘trak info dakwah Islam’ oleh Roslan Ahmad kepada Kamarudin Abdullah sambil disaksikan oleh Wan Salim Wan Mohd Noor di perkarangan hadapan bangunan IPSI di sini pada 4 Disember 2023.

‘GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyerahkan sebuah lori yang siap diubah suai menjadi trak berpentas kepada Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Dato’ Kamarudin Abdullah.

ROSLAN Ahmad

Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Dr. Roslan Ahmad memberitahu bahawa ‘trak info dakwah Islam’ tersebut adalah bernilai RM295,000 dari sumber dana ZPP.

“Dengan adanya trak ini, saya berharap aktiviti dakwah Islam selama kira-kira 30 tahun ini dengan aktiviti penyebaran risalah serta dakwah jalanan dapat terus disemarak lagi di negeri Pulau Pinang dan seluruh negara,” jelasnya semasa berucap dalam majlis berkaitan di Bangunan IPSI di sini pada 4 Disember 2024.

Mewakili Timbalan Ketua I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Wahab, Roslan memberitahu bahawa MAINPP berharap kerjasama startegik dengan penglibatan IPSI serta pertubuhan-pertubuhan lain di bawah Gabungan Dakwah Malaysia Pulau Pinang dapat terus dieratkan lagi.

“Di Pulau Pinang, mengikut bancian Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan jumlah penduduk seramai 1.74 juta dengan komposisi kaumnya 41.9 peratus adalah bumiputera (Melayu), Cina (41.3 peratus), India (8.9 peratus) dan lain-lain (0.6 peratus).

“Ini mencerminkan kemajmukan rakyat Pulau Pinang, justeru kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi serta sosial amat penting dalam menjaga kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat di Pulau Pinang,” jelasnya sambil mengharapkan aktiviti dakwah Islam di negeri ini adalah selari dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan peringkat Kerajaan Persekutuan.

KAMARUDIN Abdullah

Berucap sebelum itu, Kamarudin menzahirkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali kerana berjaya mendakap NGO sekerdil IPSI untuk turut mengambil bahagian dalam menyumbang dana zakat kepada asnaf yang layak di negeri ini.

“IPSI adalah salah sebuah NGO yang menjadi wakil kutipan zakat bagi ZPP… apabila kita dilantik sebagai amil, ia telah membantu (yang mana) kita dapat bertemu usahawan-usahawan serta para penyumbang kita yang berada di seluruh negara.

“Alhamdulillah, secara purata, dalam setahun IPSI menyumbang kembali kepada ZPP sebanyak RM1 juta dan dari hasil itu kita dapat memberi gaji kepada 15 pegawai-pegawai IPSI serta membiayai pencetakan risalah-risalah (dakwah,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya berharap MAINPP dan ZPP dapat membantu IPSI memiliki sebuah bangunan sendiri di Pulau Pinang untuk kelangsungan kerja-kerja dakwah berwajib.

Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor yang juga Penasihat IPSI; serta barisan Ahli Lembaga Pengarah ZPP lain turut sertai majlis buat julung kali diadakan itu.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB