Transformasi kemudahan awam dinikmati rakyat sentiasa diberi penekanan

Admin
KETUA Menteri menyempurnakan gimik perasmian pembukaan Taman Areca dengan melepaskan rama-rama di sini pada pagi tadi.

SUNGAI PINANG – Taman Areca dekat Lebuh Sungai Pinang 7 secara rasminya dibuka kepada semua termasuk pelancong domestik yang mula mengunjungi negeri ini.

Di atas tanah seluas 3.248 ekar berhampiran Sungai Pinang, kira-kira 25,000 pokok renek serta teduhan (404) yang pelbagai serta indah dengan konsep laman keluarga (family lawn) melayakkan kawasan berkenaan dikenali sebagai ‘taman mini botanikal’.

ANTARA gambar yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara di sini tadi.

Semasa menyempurnakan acara perasmian taman rekreasi keluarga itu pada pagi tadi, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya melalui Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang telah membelanjakan sejumlah RM1,519,284.73 bagi merealisasikan impian penduduk negeri terutama yang menetap di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Pinang dan Pengkalan Kota.

KETUA Menteri semasa menyampaikan ucapan perasmian pembukaan Taman Areca di sini.

“Selain pembiayaan daripada Kerajaan Negeri, kita juga berharap dapat mencari sumber pembiayaan lain termasuk memohon (peruntukan) daripada agensi-agensi Persekutuan serta melalui projek perkongsian awam dan swasta (PPP) untuk menjayakan transformasi kualiti hidup rakyat di negeri Pulau Pinang.

“(Sehubungan itu,) daripada segi penghijauan tempat-tempat awam, Kerajaan Negeri (sejak tahun 2008) di bawah inisiatif ‘Pulau Pinang Bersih dan Hijau’ sehingga Visi Penang2030 memang memberi penekanan kepada transformasi kemudahan awam supaya rakyat jelata kita dapat menikmati kemudahan-kemudahan ini,” jelasnya pada acara simbolik berkaitan di sini pada 17 Oktober 2021.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memuji semua pihak yang terlibat dalam menyediakan konsep serta susun atur Taman Areka sehingga memenuhi lapan kriteria di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim memberitahu bahawa Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal; Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC); Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK); Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta komuniti lokal merupakan antara pihak yang terlibat dalam menjayakan siri-siri temu bincang sehingga Taman Areca tersebut siap direalisasikan pada hari ini.

Turut berucap, Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang, Mohamed Akbar Mustapha.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri, beberapa ADUN; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM, Dr. Noor Azlin Yahya.

POSE di papan tanda SDG di sini.

Berikut adalah Lapan SDG di sebalik projek Taman Areca:-

• SDG 3 – Kesihatan dan Kesejahteraan

• SDG 4 – Pendikan Berkualiti

• SDG 5 – Kesaksamaan Gender

• SDG 6 – Air Bersih dan Terawat

• SDG 11 – Bandar dan Komuniti Mampan

• SDG 13 – Perubahan Iklim

• SDG 15 – Kehidupan Marin

• SDG 17 – Rakan Kongsi Untuk Matlamat

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS