GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan hasrat untuk mentransformasikan lorong belakang sepanjang sembilan kilometer (km) atau bersamaan 10 ekar keluasan kawasan lapang di sekitar bandar raya George Town.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, usaha tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Induk Projek Penarafan Lorong Belakang ke arah menghakis stigma negatif masyarakat mengenai kawasan terbabit.
Difahamkan, kerja-kerja penarafan lorong belakang pada tahun ini adalah melibatkan 100 meter (m) di Lebuh Armenian, Lebuh Gereja (100m), Lebuh Acheh (100m), Lebuh Kimberley (50m), Jalan Cheong Fatt Tze (150m) dan Lebuh Chulia / Jalan Penang (500m).
Manakala bagi tahun 2020 pula, melibatkan laluan sepanjang 200m Lorong Lumut, People’s Court, Lebuh Cintra (600m), Lebuh King (200m), Lorong Song Hong (150m), Jalan Kampung Malabar (300m), Jalan Pintal Tali (250m) dan Jalan Sri Bahari (200m).
Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual beberapa orang penduduk di sekitar George Town untuk mendapatkan pandangan mereka berkaitan cadangan tersebut yang dilihat bakal memberi impak dalam aspek keselamatan, ekonomi serta sektor pelancongan negeri ini.
Bagi ROSHIDI ABDUL RAHMAN, 53, seorang pengayuh beca berpendapat bahawa kerja-kerja menaik taraf lorong belakang dijangka turut memberi manfaat kepada pengayuh beca seperti beliau di negeri ini.
“Selain aspek keselamatan, dinding-dinding bangunan di sepanjang lorong terlibat yang usang perlu dicantikkan dengan lukisan-lukisan unik bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong.
“Tetapi saya lebih gembira sekiranya penarafan lorong-lorong belakang ini dilakukan dengan mewujudkan laluan khas untuk basikal atau beca melalui kawasan-kawasan ini.
“Dengan cara itu, pasti akan dapat membantu meningkatkan pendapatan pengayuh beca yang kini semakin merosot,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, HENG TIN CHIN, 70, seorang pesara turut bersetuju dengan pelaksanaan projek tersebut namun mempunyai pendapat yang agak berbeza mengenai manfaatnya kepada penduduk.
“Baguslah kalau Kerajaan Negeri mahu menaik taraf lorong-lorong belakang kerana kawasan ini sangat usang dan agak kurang selamat terutamanya bagi pelajan kaki.
“Namun, kalau nak harapkan pelancong datang semata-mata mahu melihat lorong-lorong ini saya rasa itu tidak banyak membantu,” ulasnya.
Manakala FATIMAH SALWA JAAFAR, 41, suri rumah pula meluahkan rasa teruja apabila dimaklumkan mengenai hasrat Kerajaan Negeri untuk menaik taraf dan mengindahkan lorong-lorong belakang di sekitar bandar raya George Town.
“Pulau Pinang memang sudah terkenal dengan negeri pelancongan dan sekiranya lorong-lorong ini dicantikkan, maka akan lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negeri datang ke sini.
“Lagipun sekarang sudah menjadi trend orang pergi melancong untuk berselfie (swafoto) di tempat-tempat menarik dan popular.
“Malah, saya sendiri selalu membawa keluarga ke sini (Tapak Warisan Dunia George Town) untuk meluangkan masa bersama-sama pada setiap hujung minggu dan saya begitu gembira kerana pada masa akan datang terdapat satu lagi tempat menarik untuk kami dikunjungi sekiranya projek ini benar-benar dilaksanakan,” responnya mesra.
Bagi pekerja sambilan di Hotel Haus, S. BHARATHI, 22, berpendapat bahawa projek penarafan lorong belakang akan lebih menjamin keselamatan orang awam terutama pejalan kaki.
“Saya harap MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) boleh mengindahkan lorong belakang dengan menanam lebih banyak tumbuh-tumbuhan sebagai teduhan untuk laluan pejalan kaki,” jelasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD