Transformasi sektor inap desa Pulau Pinang menerusi aplikasi digital JomHomestay.My

Admin
YEOH Soon Hin (berdiri, paling kiri) bersama-sama beberapa lain mengagihkan bungkusan bubur lambuk kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memandu berhampiran Kawasan Rehat Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini pada lewat petang tadi.

BUKIT TAMBUN – Tinggal beberapa hari menjelang Aidilfitri, pada petang ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Tourism Malaysia Wilayah Utara dan Persatuan Homestay Negeri Pulau Pinang menganjurkan program Homestay Malaysia Mai Kacau Bubur Lambuk serta acara pelancaran Pakej Homestay Negeri Pulau Pinang.

Mewakili Ketua Menteri Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin merasmikan dwiacara tersebut di Kawasan Rehat Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dekat Kawasan Parlimen Batu Kawan di sini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pulau Pinang, Jonathan Freddy P. Bagang; Ketua Pegawai Eksekutif Jambatan Kedua Pulau Pinang Sdn. Bhd., Faisal Shahbudin; Pemangku Pengarah Tourism Malaysia, M. Yoganthiran; Pengerusi Persatuan Homestay Negeri Pulau Pinang, Rohaizat Othman; Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayan Negeri Pulau Pinang, Shapee Cik Embi; Pengarah Wilayah Utara Lembaga Lebuhraya Malaysia, Azleen Jaludin; dan para sukarelawan penuntut dari Kolej Cosmopoint Bayan Baru turut sertai acara ringkas tersebut.

ACARA gimik perasmian program Homestay Malaysia Mai Kacau Bubur Lambuk serta acara pelancaran Pakej Homestay Negeri Pulau Pinang, yang disempurnakan oleh Yeoh Soon Hin (tengah) di sini tadi.

Turut serta, 10 kluster pengusaha rumah inap desa negeri dari kawasan Mengkuang Titi, Teluk Bahang, Pulau Betong, Sungai Semilang, Sungai Duri, Sungai Setar, Sungai Chenaam, Pulau Aman, Kota Aur dan Lahar Yooi.

Kesemua 10 kluster secara gotong-royong memasak bubur lambuk mengikut resepi warisan masing-masing, untuk menyediakan 1,500 pek bagi tujuan diagihkan kepada para pengguna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang menghala masuk ke bahagian Pulau, George Town.

Dalam sidang media selepas itu, Yoganthiran memberitahu bahawa tujuan pelancaran platform digital JomHomestay.My untuk mempromosi lagi pakej inap desa di seluruh negara termasuk Pulau Pinang, sekaligus menyemarak kembali sektor pelancongan domestik yang terjejas dek pandemik COVID-19.

“Melalui aplikasi (JomHomestay.My) ini, pelancong boleh membuat tempahan dan bayaran secara dalam talian untuk pakej ‘homestay’ dan ‘kampungstay’ di seluruh negara yang berdaftar secara sah dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Kita berharap dengan adanya majlis pelancaran Jom Homestay Pulau Pinang (serta) aplikasi web JomHomestay.My, akan mempercepatkan proses pendigitalan ekonomi semasa normal baharu sekarang,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Soon Hin sebagai perasmi dwiacara pada lewat petang ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ENG KOK WEI