Trek joging Taman Cermai telan belanja RM56,000, kata Exco

PERMATANG PASIR – Trek joging sepanjang 212 meter (m) dan lebar 1.52m yang siap dibina di Taman Cermai di sini menelan belanja kira-kira RM56,000.

Mengulas lanjut, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata bahawa pihaknya melaksanakan projek tersebut adalah susulan permintaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil.

“Untuk makluman semua, YB Faiz Fadzil selaku ADUN kawasan ini telah menunjukkan hasrat untuk mewujudkan satu trek joging kepada penduduk Taman Cermai pada awal tahun ini.

“Susulan itu, trek joging yang telah siap dibina ini diharap memberi manfaat kepada penduduk setempat yang selama ini memang memerlukan satu tempat yang sesuai dan selamat untuk menjalankan aktiviti sukan dan riadah,” jelasnya semasa merasmikan projek infrastruktur awam tersebut di sini pada 15 Oktober 2022.

Di samping itu, beliau yang juga ADUN Bagan Jermal turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT) dan kontraktor yang terlibat kerana berjaya menyiapkan projek tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Lip Chee memberitahu bahawa dengan pembinaan trek joging itu sekali gus melengkapkan kemudahan gelanggang bola keranjang yang siap dinaik taraf pada tahun sebelum ini.

Difahamkan, sebanyak 16 projek telah dilaksanakan di daerah berkenaan sejak tahun 2018, yang mana 11 projek tersebut seperti gelanggang sepak takraw, gelanggang futsal, gelanggang bola tampar pantai dan gelanggang bola jaring adalah dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Lip Chee memberitahu bahawa daripada 11 projek tersebut, tiga projek adalah dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Pasir, lima dalam KADUN Seberang Jaya dan tiga projek dalam KADUN Penanti dengan kos keseluruhan melebihi RM800,000.

Teks & Gambar : ZAINUILFAQAR YAACOB