GEORGE TOWN – Tradisi berbuka puasa beramai-ramai sepanjang bulan Ramadan dengan turut melibatkan rakan-rakan dalam kalangan bukan Islam seperti di padang Esplanade bukan sahaja wajar diteruskan, bahkan dipromosi pelbagai pihak.
Demikian syor Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow seusai menyertai acara mengagihkan 250 bekas bubur lambuk dan jeli kelapa (500) kepada pengunjung di sini pada 22 Mac 2025.

“Memang sudah menjadi suatu trand yang mana orang-orang Islam bersama-sama anggota keluarga dan saudara-mara berbuka puasa di padang (awam), bukan sahaja di bahagian pulau, Seberang Perai, Kuala Lumpur, Selangor dan tempat-tempat lain juga.
“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) memang mengggalakkan penyertaan masyarakat bukan Islam meraikan mereka yang berbuka puasa seperti di padang awam di sini.
“Mudah-mudahan dengan publisiti, lebih ramai akan mengambil bahagian,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi sambil menyifatkan trend berbuka puasa melibatkan kepelbagaian kaum adalah suatu tradisi yang menyumbang kepada usaha perpaduan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran atas penganjuran Majlis Berbuka Puasa @ Padang Kota Lama serta menyediakan 3,000 pek jamuan berbuka puasa secara percuma kepada para pengunjung di sini.
Semalam, Kon Yeow dalam satu majlis di sini antara lain menyeru para pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bersama-sama menunjukkan teladan yang baik terlebih dahulu kepada rakyat demi memupuk semangat perpaduan di tanah air ini.
Nasihat Pengerusi PH negeri Pulau Pinang itu lagi, dengan berbuat demikian sebenarnya akan menstabilkan politik negara daripada pelbagai isu perkauman dan agama yang masih terjadi belakangan ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT