Trend membaca rakyat Malaysia meningkat melalui medium fizikal dan digital

img 9780

BATU MAUNG – Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 oleh Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia mencatatkan perubahan positif dalam trend pembacaan rakyat, selari dengan kemajuan digital dan Revolusi Industri 4.0.

Menurut Tumbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, purata pembacaan rakyat Malaysia meningkat kepada 24 naskah buku setahun berbanding hanya dua buku pada 2005.

“Oleh itu, usaha memperkukuh budaya membaca perlu diteruskan secara bersepadu.

“Laporan Perangkaan Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia (2013-2022) mencatatkan sebanyak 240,580 judul buku telah diterbitkan, melibatkan 217,888 permohonan International Standard Book Number (ISBN) dan 22,692 untuk (e-Buku).

“Perangkaan ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam dunia penerbitan negara, sekali gus memperluas akses ilmu kepada masyarakat.

“Dengan kepelbagaian judul dan medium penerbitan, sama ada bercetak mahupun digital, ilmu dapat disebar dengan lebih luas, inklusif dan berkesan,” ujarnya pada Majlis Karnival Singgah Perpustakaan @ Sekolah dan Peluncuran Kempen Galakan Membaca Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas di sini pagi tadi.

img 9779

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan, para Pengetua dan murid-murid daripada 40 buah sekolah.

Antara acara utama ialah Jom Baca 10 Minit Bersama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang serta pameran sains oleh agensi-agensi kerajaan terlibat.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata, selaras dengan aspirasi Penang2030 yang menekankan pembangunan insan dan keluarga sebagai teras kemajuan, budaya membaca perlu terus dipupuk sebagai amalan hidup.

“Daripada pembacaan, lahir pemikiran kritis serta bernas dan daripada pemikiran itulah akan terbentuk sebuah negeri yang progresif dan cemerlang.

“Usaha ini juga seiring dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang memberi penekanan kepada teras Pembangunan Pendidikan iaitu bagi melahirkan modal insan yang progresif, dinamik, dan celik ilmu untuk memacu masa depan negeri dan negara.

“Ini juga bertepatan dengan semangat Malaysia MADANI yang mengangkat nilai daya cipta, keyakinan dan ihsan dalam membina sebuah masyarakat yang berilmu, beretika dan bertanggungjawab sosial, demi kesejahteraan bersama dalam sebuah negara yang harmoni dan makmur,” katanya lagi.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI