GEORGE TOWN – Jumlah penumpang bas awam Rapid Penang di negeri ini dalam tempoh tiga tahun belakangan ini menunjukkan trend peningkatan, namun masih rendah berbanding sebelum pandemik COVID-19.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa sehingga bulan September lepas kadar penumpang mencapai 2.64 peratus.
“Kadar (2.64 peratus) ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak 2.07 peratus dan tahun 2021 sebanyak 1.23 peratus.
“Kadar ini masih jauh ketinggalan berbanding dengan rekod pada bulan April 2019 (iaitu) sebelum COVID-19 melanda (negara termasuk negeri Pulau Pinang) yang mana peratusan yang direkodkan adalah sebanyak 4.47 peratus,” jelasnya dalam Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 22 November 2022.
Lanjutnya itu, Zairil yang juga juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga berkata Kerajaan Negeri dengan kerjasama Rapid Penang akan berusaha meningkatkan kebolehpercayaan dan kesinambungan pengangkutan awam demi menjana lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Selain itu, Zairil berkata Kerajaan Negeri juga akan membiayai program-program subsidi pengangkutan awam seperti pas perjalanan tanpa had Pas Mutiara My50, bas percuma CAT Bridge, pas Bridge Express Shuttle Transit (BEST) Komtar, tambang feri kepada penumpang pejalan kaki warganegara dan sebagainya.
Penjelasan Zairil itu sebagai respons pada soalan yang dibangkitkan oleh ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN