Tuah penduduk Batu Maung

BATU MAUNG – Tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, sebanyak 70 pukat telah disumbangkan kepada para nelayan di Unit Nelayan Permatang Damar Laut di sini baru-baru ini.

Majlis penyerahan yang diadakan secara sederhana telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Abdul Malik Abdul Kassim. Turut hadir adalah Pengerusi JKKK Permatang Damar Laut, Saaroni Hassan ; Pengerusi JKKK Batu Maung, Yusoff Osman dan Penghulu kawasan, Zailani.

Dalam pada itu, di majlis berasingan, bersempena dengan Kejohanan Futsal Pakatan Rakyat, sebanyak 100 helai baju-t turut disumbangkan kepada Persatuan Belia Taman Seri Indah Batu Maung.

Sumbangan tidak seberapa itu adalah bagi menyuntik semangat kesukanan pasukan belia Batu Maung dalam merebut gelaran juara di kejohanan tersebut. Pada masa sama, ia juga bagi mengelakkan para belia tempatan daripada terjebak ke dalam aktiviti sosial yang tidak sihat,’’ katanya di sini.

Sementara itu, sebagai persediaaan dalam menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), seramai 300 pelajar telah mengambil inisiatif khas untuk menyertai seminar pendidikan yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah 1 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Seminar anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung tersebut melibatkan pelajar-pelajar dari Bukit Gedong, Sungai Ara, Kampung Naran, Permatang Damar Laut dan Telok Tempoyak.