Tuanku Mizan Zainal Abidin kagum perkembangan syiar Islam di P. Pinang

TUANKU Mizan Zainal Abidin (kanan sekali) sambil diperhatikan Tun Abdul Rahman Abbas (dua dari kiri) menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Kompleks Pendidikan Maahad Mashoor Al-Islami.
TUANKU Mizan Zainal Abidin (kanan sekali) sambil diperhatikan Tun Abdul Rahman Abbas (dua dari kiri) menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Kompleks Pendidikan Maahad Mashoor Al-Islami.

 

BALIK PULAU – Pendidikan Islam di Pulau Pinang mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan mencemar duli merasmikan Kompleks Pendidikan Maahad Mashoor Al-Islami di sini, pada 24 Jun lepas.

Selepas menunaikan solat fardhu Jumaat di Masjid Negeri, Seri Paduka berangkat tiba dengan diiringi Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majmor Sharif serta Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman. Seri Paduka berdua disambut meriah dengan paluan kompang oleh warga Maahad Mashoor Al-Islami.

Semasa bertitah, Seri Paduka mengingatkan umat Islam supaya bersatu padu meningkatkan syiar Islam dan mengenepikan perbezaan fahaman politik.

“Beta berharap rakyat di negeri ini (Pulau Pinang) dapat mengekalkan perpaduan ummah walaupun dalam kalangan kita wujud beberapa perbezaan faham politik,” titah Seri Paduka kepada lebih 3,000 hadirin.

TUANKU Mizan Zainal Abidin (barisan pertama, dua dari kiri) ketika hadir merasmikan Kompleks Pendidikan Maahad Mashoor Al-Islami di Balik Pulau.
TUANKU Mizan Zainal Abidin (barisan pertama, dua dari kiri) ketika hadir merasmikan Kompleks Pendidikan Maahad Mashoor Al-Islami di Balik Pulau.

Seri Paduka berharap dengan terbinanya kompleks tersebut, ia dapat menjadi satu lagi prasarana pendidikan Islam terbaik di rantau ini dan menyeru agar kerajaan negeri terus menyemarakkan lagi perkembangan institusi pembangunan Islam di negeri ini.

Sebelum itu, semasa merafak sembah, Mansor berharap keberangkatan Seri Paduka berdua akan menjadi simbol perhubungan harmoni antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mansor turut menyuarakan hasrat Kerajaan Negeri untuk menubuhkan sebuah Yayasan Islam di Pulau Pinang dalam usaha memertabatkan syiar Islam.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Elyas Zakaria, Timbalan Yang Dipertua MAIPP, Datuk Mohd. Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Haji Abdul Malik Abul Kassim.