GEORGE TOWN – Penubuhan Penang Chip Design Academy di bangunan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Bayan Lepas diharapkan dapat menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk menarik pelabur terpilih berkaitan industri reka bentuk litar bersepadu (IC design) dan digital ke negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama Persidangan Inovasi Teknologi : Memperkasa Sumber Tenaga Manusia Dalam Era Digital anjuran Invest Penang dekat sini pada 23 Mei 2024.
“Akademi ini merupakan komponen utama Pelan Tindakan Bakat STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Pulau Pinang yang akan dilancarkan pada Jun 2024.
“Inisiatif ini akan diterajui oleh PSDC dengan kerjasama pemain industri utama, penyedia alatan Electronic Design Automation (EDA), ahli akademik, dan InvestPenang,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi sambil memberitahu bahawa akademi tersebut mungkin dibiayai menerusi perkongsian awam swasta (PPP).
Persidangan tersebut turut menyaksikan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari berkongsi pentas forum dengan tiga penalis lain bagi membincangkan mekanisme memperkukuh Pulau Pinang sebagai hab baharu reka bentuk litar bersepadu dan digital bagi rantau ASEAN.
Mereka terdiri daripada Ahli Akademik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Shaizatulaqma Kamalul Ariffin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SkyeChip, Swee Kiang Fong dan CEO PSDC, Dr. Hari Narayanan sendiri.
Forum itu dikemudi oleh Pengerusi GBS Focus Group Malaysia dan Pulau Pinang, Amar Chhajer.
Dalam sidang media selepas itu, Dr. Hari Narayanan memberitahu bahawa ketika ini silibus kursus jangka masa pendek berkaitan bidang reka bentuk litar bersepadu sedang dimuktamadkan sebelum dibuka untuk penyertaan pelatih industri.
Sementara itu, CEO Invest Penang, Dato’ Loo Lee Lian pula memberitahu bahawa Penang Chip Design Academy hanya akan menawarkan kursus jangka masa pendek bagi meningkatkan kemahiran pelatih dalam bidang reka bentuk litar bersepadu dan bukannya mengambil alih peranan universiti melahirkan graduan bidang kejuruteraan.
“Ini bukan kursus yang bergraduasi (seperti di universiti), pelatih adalah graduan kejuruteraan yang mungkin ke sini (Penang Chip Design Academy) bagi meningkatkan kemahiran mereka, maka ia patut dianggap kursus jangka masa pendek sahaja,” jelasnya dalam nada sederhana.
Pada sidang media selepas itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menjelaskan kepada pemberita bahawa Penang Chip Design Academy telahpun ditubuhkan di PSDC, Bayan Lepas bagi melaksanakan kursus jangka masa pendek bidang ‘IC design’ kelak.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI