Tubuh Food Bank demi hargai pengorbanan Wira Oren semasa PKP – Datuk Bandar

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud hari ini melancarkan Food Bank Wira Oren bagi menghargai anggota barisan hadapan dalam kalangan kakitangan Jabatan Khidmat Perbandaran yang bertugas semasa kali kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) sekarang.

Bercakap pada sidang media yang dilangsungkan secara live Facebook pada pagi tadi, beliau berkata program kebajikan itu adalah hasil inisiatif serta kesedaran bersama-sama oleh pihak pentadbrian, Ahli-ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sof kepemimpinan Kesatuan Kebangsaan Pihak Berkuasa Tempatan (ANULAE) Cawangan MBSP.

“Dengan penuhuhan (tabung) bantuan Food Bank Wira MBSP ini, MBSP dapat meringankan beban kewangan mereka (Wira Oren) supaya sekurang-kurangnya mereka dapat menumpukan perhatian pada pekerjaan, pemikiran mereka tidak diganggu dengan kesukaran keluarga, keluh kesah anak-anak, isteri atau suami di rumah,” jelasnya dalam majlis ringkas di lobi Menara Bandaraya MBSP di sini pada 26 Januari 2021.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) MBSP di sini.

Menurut Rozali, program bantuan Food Bank Wira tersebut akan digerakkan secara sukarela dengan pihak pengurusan telahpun menyuntik RM5,000 kepada semua persatuan di bawah ANULAE Cawangan MBSP, demi menjana sumbangan serta derma daripada semua pihak berkepentingan yang lain.

Walaupun sumbangan secara ‘kick-off’ oleh pihak pengurusan adalah tidak besar, tetapi Rozali berkata bahawa pentadbirannya berharap program inisiatif bersama tersebut menjadi simbol penghargaan pada segala pengorbanan Wira Oren MBSP yang gigih berkhidmat untuk seluruh warta penduduk Seberang Perai.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas kegigihan seluruh Wira Oren MBSP bersama-sama anggota barisan hadapan daripada agensi-agensi lain, sejak pelaksanaan kali pertama PKP yang bermula pada 18 Mac 2020.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB