Tubuh Galeri Sukan Negeri sebagai menghargai pencapaian atlet Pulau Pinang

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) menubuhkan Galeri Sukan Negeri sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian para atlet yang telah mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa galeri yang pertama seumpamanya dibangunkan di negeri ini bakal mempamerkan peralatan sukan, piala-piala serta pingat kemenangan dan pelbagai maklumat berkaitan pencapaian para atlet negeri ini.

“Sebagai sebuah negeri ‘powerhouse’ dalam arena sukan, sudah tentunya Pulau Pinang mempunyai warisan dan sejarah sukan yang cukup dinamik serta menarik untuk dikenang.

“Kelahiran atlet-atlet negeri bertaraf antarabangsa seperti Dato’ Lee Chong Wei, Dato’ Nicol Ann David, Dato’ Zaiton Othman serta ramai lagi tokoh sukan lain adalah sesuatu yang sangat membanggakan dan seharusnya menjadi pencetus inspirasi terutamanya kepada pelapis baharu dalam meraih kejayaan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Exco Belia dan Sukan, YB Soon Lip Chee yang mencadangkan penubuhan sebuah galeri sukan negeri sebelum ini,” katanya pada majlis perasmian Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang dekat Kompleks Sukan & Rekreasi Sony di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri melawat kemudahan yang terdapat di Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang sempena majlis perasmiannya sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Negeri Pulau Pinang, Zul Kahar Khamis dan Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Baderul Amin Abdul Hamid.

Kon Yeow berkata, kos bagi pengubahsuaian serta penaiktarafan galeri sukan berkenaan adalah menelan kos berjumlah RM200,000 dan dibangunkan dengan konsep mesra keluarga yang mana turut merangkumi ruang untuk kanak-kanak.

“Antara keistimewaan galeri ini adalah segmen pameran peralatan sukan, piala-piala serta pingat kemenangan disumbangkan oleh para atlet seperti Lee Chong Wei, Nicol Ann David dan lain-lain.

“Justeru, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan penyertaan daripada semua khususnya pelajar sekolah rendah dan menengah dengan harapan ia dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda.

“Saya juga berharap agar galeri sukan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua sekali gus menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan para atlet negeri ini,” katanya.

Difahamkan, Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang dibuka kepada pengunjung dan orang ramai pada hari Sabtu dan Ahad bermula dari jam 8 pagi sehingga 6 petang secara percuma.

Manakala untuk kemasukan pada hari Isnin hingga Jumaat, ia adalah tertakluk kepada tempahan awal yang boleh dibuat melalui MSNPP.

Sebarang pertanyaan boleh e-mailkan ke [email protected] atau hubungi 04-659 3713/659 3714/659 3715.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI