BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang akan terus berusaha meningkatkan pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) menggunakan mesin Automated External Defibrillator (AED) dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khusus di bawah Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Kesihatan.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian dan Pemasangan mesin AED dekat lot komersial The Suite di Aucoticy Juru di sini pada 9 Oktober 2023.
“Tujuannya adalah untuk kita menyeragamkan mekanisme latihan kepada (para sukarelawan) penyelamat supaya pada waktu kecemasan terjadi mereka terlatih untuk melakukan CPR dengan bantuan mesin AED ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Berucap pada majlis sama, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung menzahirkan rasa bangga kerana Pulau Pinang masih berada pada kedudukan paling hadapan berbanding negeri-negeri lain dalam segi bilangan mesin AED yang telah dipasang di kawasan-kawasan strategik.
Presiden Persatuan Pemulihan Jantung Pulau Pinang (PHSS), Dato’ Dr. Luah Lean Wah dan Pengarah Urusan Autocity Group, Gary Teoh Kiang Hong antara yang turut serta dalam majlis berkenaan.
Hadir sama, dua wakil kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad iaitu Mohd. Fidaie Mohamad (Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kesihatan) dan Mohammad Amsyar Amin Mohamed Hussin (Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran).
Serentak pada majlis sama, Zi Sen diiringi Hsiao Leung turut menyaksikan acara penyerahan tiga unit mesin AED kepada pihak sukarelawan penyelamat berkenaan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR