Tubuh jawatankuasa pantau kemajuan projek pembinaan sekolah agama, cadang Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengemukakan cadangan bagi menubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau kemajuan projek pembinaan sekolah agama, Pusat Pendidikan Al-Itqan (PPAIQ) yang terletak di Mukim 9, Teluk Kumbar.

 

Cadangan itu dikemukakan susulan pertemuan bersama-sama wakil daripada PPAIQ di pejabat beliau di Komtar pagi ini.

 

KETUA Menteri ketika menerima kunjungan daripada wakil Pusat Pendidikan Al-Itqan di Komtar pagi ini.

 

Menurut Kon Yeow, pihaknya akan bertindak sebagai pemudah cara bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

 

“Bagi Kerajaan Negeri, pihak kami boleh menyediakan dokumen berkaitan untuk pihak sekolah dan bertindak sebagai pemudah cara bagi projek ini,” ujarnya.

PERBINCANGAN antara wakil Pusat Pendidikan Al-Itqan bersama-sama Ketua Menteri dan lain-lain unit berkaitan di sini.

 

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Jemaah Pengurusan Sekolah PPAIQ, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abd. Aziz hadir ke Komtar bersama-sama Pengarah Eksekutif PPAIQ, Mohamd Yusoff Omar dan Pegawai Perhubungan Awam PPAIQ, Helmy Syafiq Mohamad Yusoff bagi membincangkan perkembangan rancangan pembinaan sekolah berkaitan.

 

Turut serta, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri, S. Bharathi; Pegawai Khas (Hal-Ehwal Sekolah), Sim Phoi Yong; Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Lai Hon Meng serta wakil daripada pejabat Timbalan Ketua Menteri I.

 

PPAIQ merupakan sekolah berintegrasi dua aliran yang beroperasi tanpa laba sejak 1998.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD