Tubuh stesen kitar semula e-waste akan buka kolaborasi strategik pelbagai pihak, kata Ketua Menteri

de265201 659d 4488 9d31 1a06eb8e9a95 (Dari kiri) NORAZIZ Adinan, S. Sundarajoo, Ketua Menteri, Vincent Tan Kooi Huat, Goh Choon Aik dan Andy Song menyertai acara gimik pelancaran stesen kitar semula sisa elektronik (e-waste) di kawasan Parlimen Batu Kawan dekat Design Village Outlet Mall pada 19 April 2025.

BUKIT TAMBUN – Penubuhan stesen kitar semula sisa elektronik (e-waste) di kawasan Parlimen Batu Kawan adalah bertepatan dengan matlamat Kerajaan Pulau Pinang hari ini dalam membina negeri yang lestari serta mesra alam, seiring dengan Visi Penang2030.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap inisiatif yang diusahakan kini akan memberi satu anjakan paradigma serta membuka lebih banyak peluang dalam bentuk kolaborasi strategik antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat berhubung gaya hidup hijau serta lestari.

“Penubuhan stesen kitar semula sisa e-waste ini benar-benar mencerminkan komitmen dalam menggembleng usaha untuk memberi kembali kepada masyarakat dan mendorong perubahan mampan dengan menggalakkan amalan kitar semula sebagai antara pelan berkesan yang menjamin kesejahteraan serta kelangsungan hidup manusia pada masa depan,” jelasnya dalam Majlis Pelancaran Stesen Kitar Semula Sisa Elektronik (e-waste) kawasan Parlimen Batu Kawan dekat Design Village Outlet Mall pada 19 April 2025.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, penubuhan stesen kitar semula sisa e-waste ini turut akan menggerakkan ekonomi kitaran.

“Ia bukan sahaja mahu memastikan sisa-sisa berkaitan diurus dan dilupuskan secara selamat, tetapi lebih penting lagi, ia merupakan satu inisiatif murni yang menggerakkan ekonomi kitaran atau circular economy, yang mana semua hasil kutipan sisa e-waste ini akan disalurkan ke sekolah-sekolah dan organisasi kebajikan di kawasan Batu Kawan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Urusan Decent Industry Sdn. Bhd., Vincent Tan Kooi Huat serta pasukannya atas usaha meneroka penyelesaian lestari berteknologi tinggi dalam sektor alam sekitar, sambil mengekalkan semangat tanggungjawab sosial korporat tinggi, di sebalik penubuhan stesen kitar semula sisa elektronik (e-waste) di Parlimen ini.

“Inilah teladan kepimpinan yang ingin kita lihat lebih banyak dalam ekonomi hijau di negara kita,” serunya.

Selain Kooi Huat, turut serta dalam majlis sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Pegawai Operasi PE Land Penang Sdn. Bhd., Andy Song dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Norazizi Adinan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT