BATU MAUNG – Sebagai persediaan platform untuk pelajar kurang berkemampuan menghadapi ujian yang bakal menentukan masa depan mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung telah mengambil inisiatif khas untuk mewujudkan kelas tuisyen percuma di Sungai Ara di sini, 25 April lalu.
ADUN Batu Maung, Abdul Malik Abdul Kassim berkata, program tuisyen yang julung kali diadakan ini adalah bagi memastikan semua pelajar kuranag berkemampuan mengikuti kelas tambahan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kelas tuisyen ini diadakan sebanyak dua kali seminggu. Mata pelajaran yang diajar bagi murid UPSR ialah Bahasa Malaysia (BM) , Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik. Bagi PMR adalah matapelajaran BM, BI, Matematik dan Sains. SPM (BM, BI, Matematik, Sains dan Matematik Tambahan),’’ katanya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, di dalam program berasingan, sebagai penghargaan kepada jasa pengorbanan yang dicurahkan oleh para ibu, satu program khas turut dijalankan di padang bola sepak Permatang Damar Laut di sini 9 Mei lalu.
Bertemakan ‘Kasih Ibu Keluarga Bahagia’, antara program menarik yang disediakan ialah pertandingan melukis, menganyam ketupat, demonstrasi masakan, sukaneka dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara, Betty Chew Gek Cheng.