GEORGE TOWN – Hasil tinjauan yang dijalankan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kerajaan Negeri membuat keputusan muktamad untuk hanya membenarkan tukang masak warga tempatan memasak makanan tempatan di negeri ini.
Peraturan tersebut bagaimanapun hanya tertakluk kepada penjaja yang menerima lesen daripada pihak PBT sahaja.
Malah, Kerajaan Negeri akan memberi tempoh peralihan dan melaksanakan penguatkuasaan tersebut secara berperingkat iaitu dalam tempoh setahun.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yow berkata, tinjauan berhubung cadangan untuk melarang warga asing memasak makanan tempatan yang dijalankan MPPP pada 25 Julai hingga 31 Ogos lalu adalah membabitkan 14,810 sampel iaitu 14,428 adalah dengan bersemuka dan selebihnya online survey (382). Seramai 14,765 sampel adalah warganegara dan bukan warganegara (45).
“Hasil tinjauan mendapati seramai 12,952 responden iaitu 87.45 peratus bersetuju bahawa makanan tempatan perlu dimasak oleh warga tempatan, manakala tidak setuju (1,858 atau 12.55 peratus).
“Malah, kajian turut menunjukkan 12,741 atau 86.02 peratus bersetuju jika MPPP membatalkan lesen perniagaan sekiranya melantik tukang masak warga asing memasak masakan tempatan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hadir sama pada majlis berkenaan.
Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng dan Setiausaha MPPP, Ir. Ang Aing Thye.
Tambah Kon Yeow, bagi MPSP, tempoh soal selidik adalah berlangsung dari 25 Julai hingga 24 Ogos lalu.
“Hasilnya mendapati bahawa seramai 1,358 atau 85.3 peratus responden daripada keseluruhan 1,591 bersetuju dengan cadangan demikian dan hanya 233 (14.7 peratus) tidak bersetuju.
“Berhubung cadangan membatalkan lesen sekiranya peniaga didapati melantik tukang masak warga asing, seramai 1,354 (85 peratus) bersetuju dan 237 (15 peratus) sebaliknya,” jelas beliau.
Beliau memberitahu bahawa satu pelekat akan dilekat di gerai-gerai yang mengikuti syarat berkenaan bagi membolehkan warga tempatan juga luar mengenalpasti ia.
“Kita (Kerajaan Negeri) akan melaksanakan peraturan ini secara berperingkat dan akan dimasukkan di dalam kriteria permohonan lesen kelak,” jelas Kon Yeow.