Tukar tanah terbiar jadi kebun cili bertingkat

Admin

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang sememangnya berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak hab kebun komuniti berkonsepkan pertanian bandar kelak sebagai langkah terbaik mengawal kos sara hidup yang kian meningkat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri sebelum ini menyatakan bahawa inisiatif projek kebun komuniti dalam sektor pertanian dilihat mempunyai prospek yang sangat cerah untuk dimajukan melalui adaptasi suntikan kepakaran serta teknologi baharu.

Menyahut seruan tersebut, NORHISHAM AHMAD,47, mengambil langkah mengusahakan tanaman cili secara bertingkat di atas tanah lot terbiar berhampiran kediamannya sejak Oktober tahun lepas.

Ketika ditemui Buletin Mutiara baru-baru ini, beliau memberitahu bahawa dirinya mula mengusahakan kebun cili tersebut secara kecil-kecilan untuk memenuhi masa terluang dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP2.0).

Kebun cili bertingkat yang diusahakan.

“Pada masa sama, saya juga sedang berusaha untuk menambah pendapatan keluarga yang mana sebelum ini kami hanya bergantung kepada hasil daripada sawah padi milik keluarga yang diusahakan sejak berpuluh tahun lalu.

“Sekarang harga barang terutamanya makanan semakin meningkat, jadi kami memang memerlukan sumber pendapatan alternatif untuk menampung perbelanjaan seharian,” katanya.

Norhisham memberitahu bahawa beliau memilih untuk mengusahakan tanaman cili jenis ‘Kulai 461’ ekoran minat yang mendalam terhadap tanaman tersebut.

“Selain itu, cili jenis ini juga mendapat permintaan dan harga yang tinggi di pasaran,” jelasnya lagi sambil memberitahu bahawa kebun cili tersebut diusahakan bersama seorang lagi abangnya.

Sistem fertigasi

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa tanaman cili yang diusahakan adalah menggunakan sistem fertigasi memandangkan keluasan tanah yang agak terhad.

“Saya mendapat nasihat daripada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang untuk menggunakan sistem fertigasi kerana sistem ini tidak memerlukan kawasan yang luas dan sesuai dengan saiz tanah yang saya ada.

 

“Selain itu, sistem ini juga akan menghasilkan cili berkualiti, tahan lama dan mampu mengeluarkan hasil berkali ganda berbanding yang ditanam menggunakan kaedah konvensional.

“Paling penting adalah tanaman ini perlu diberikan vitamin tambahan untuk memastikan cili cepat membesar dan tidak rosak.

“Tambahan pula, saya menggunakan sabut kelapa menggantikan tanah bagi tanaman cili ini untuk mengurangkan penyakit dan mengelakkan serangan serangga perosak,” ulasnya.

Mengulas lanjut, Norhisham memberitahu bahawa kos permulaan untuk membangunkan kebun cili bertingkat tersebut adalah kira-kira RM4,000 termasuk membeli benih cili dan vitamin tambahan.

Cili yang terhasil daripada penanam menggunakan sistem fertigasi.

“Kebanyakan peralatan lain seperti sistem perpaipan yang membolehkan tanaman cili disiram secara automatik, polibeg dan tangki air adalah bantuan daripada pihak Jabatan Pertanian (Negeri Pulau Pinang).

“Saya buat kebun cili bertingkat ini pun sebab syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian untuk menerima bantuan adalah saya perlu tanam minimum 400 pokok.

“Oleh itu, saya hasilkan sistem penanaman cili dua tingkat yang mengandungi enam baris untuk mencukupkan jumlah yang ditetapkan itu.

“Dengan keluasan ini, saya telah berjaya menuai hasil cili sebanyak 870 kilogram (kg) sejak mula ditanam sehingga kini,” ujarnya sambil memberitahu bahawa hasil yang diperoleh akan dijual kepada peniaga dan pemborong kecil-kecilan di sekitar Penaga dengan harga bermula RM12 mengikut gred cili iaitu A, B, C dan D.

Tambah beliau, walaupun mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira dua bulan untuk tuaian pertama, namun penanaman cili sebenarnya memerlukan penjagaan yang sangat rapi.

Rancangan masa depan

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Norhisham lantas memberitahu bahawa beliau kini sedang mencari tapak yang sesuai untuk meluaskan lagi kebun cili yang diusahakannya itu.

“Sekarang hasil yang diperoleh tidak mampu menampung permintaan terhadap cili jenis ini di pasaran yang semakin tinggi.

“Oleh itu, saya berharap agar pihak Jabatan Pertanian dapat menyewakan tanah milik mereka kepada saya untuk dijadikan tapak tanaman cili sekali gus meluaskan lagi kebun sedia ada.

Norhisham Ahmad menunjukkan baja organik yang dihasilkan sendiri.

“(Dan) kalau berjaya, saya juga mempunyai impian untuk mewujudkan pusat latihan bagi penanaman cili di kebun baharu itu nanti.

“Selain teknik penjagaan tanaman, pusat latihan itu juga boleh dijadikan platform untuk saya berkongsi ilmu mengenai cara penghasilan baja organic sendiri menggunakan ikan laut,” ujarnya.

Mengakhiri bicara, Norhisham menjemput mana- mana pihak yang berminat mempelajari teknik penanaman cili bertingkat menggunakan sistem fertigasi untuk datang sendiri ke kebun beliau.

Selain itu, mereka yang mahu mendapatkan cili segar dari kebun juga boleh hadir atau hubungi beliau di talian 013-290 6071.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMMAD