Tulisan tangan TYT pertama Pulau Pinang turut dipamerkan, menarik!

Tulisan tangan TYT pertama Pulau Pinang antara koleksi peribadi yang dipamerkan di Dewan Sri Pinang di sini.

UMUM mengetahui Pulau Pinang antara negeri yang tidak mempunyai Raja atau Sultan.

Yang Dipertua Negeri adalah Ketua Negeri dengan gelaran Tuan Yang Terutama (TYT), dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Sebelum gelaran Yang Dipertua Negeri digunakan, Ketua Negeri ini dipanggil Gabenor.

Gelaran Gabenor ini digunakan dari tahun 1957 iaitu semasa Semenanjung Tanah Melayu merdeka hingga pertengahan tahun 1976.

Pada tanggal 27 Ogos 1976, panggilan Gabenor itu ditukar pada Yang Dipertua Negeri, dan gelaran tersebut kekal hingga hari ini.

Bertempat di Dewan Sri Pinang di tengah-tengah George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO kini sedang berlangsungnya Pameran ‘Dari Gabenor Ke TYT’.

Pada 16 Ogos lepas, Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang kelapan, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri dengan diiringi isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor merasmikan pembukaan pameran itu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow semasa berucap antara lain memberitahu bahawa pameran ini julung-julung kali diadakan dengan menghimpunkan koleksi-koleksi terhad kesemua TYT Pulau Pinang.

Wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI (jurugambar) turut berkesempatan melihat dari dekat koleksi pameran di sini.

RAJA Tun Uda Al-Haj Raja Muhammad

Yang menarik antaranya adalah beberapa makalah tulisan tangan Yang Amat Mulia Raja Sir Raja Tun Uda Al-Haj bin Raja Muhammad.

Turut dipamerkan di sini adalah salasilah keluarga TYT itu hingga kini.

Kata salah seorang pegawai pameran di sini, ini sebagai menghargai kerabatnya yang sudi berkongsi beberapa lagi koleksi terhad Raja Tun Uda dalam pameran ini.

Raja Tun Uda merupakan TYT yang pertama, dilantik bagi tempoh Ogos 1957 sehingga 30 Ogos 1967.

Sebelum menjadi ketua negeri ini, Allahuyarhamuhu pernah menjadi Menteri Besar Selangor kedua dan keempat dari 1 Julai 1949 hingga Mac 1953 serta 1954 ke 1955.

Pada salah satu dinding pameran di sini, terpapar kata-kata Tun Raja Uda semasa dilantik sebagai TYT yang pertama.

Kata-katanya itu berbunyi, “Saya akan menjadi hamba kepada hamba-hamba Tuhan di Pulau Pinang.”

Kata-kata Tun Raja Uda itu diriwayatkan oleh Tan Sri Dato’ Seri Haji Yussof Latiff, iaitu Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang).

Ada banyak lagi koleksi peribadi TYT yang lain dalam pameran sementara anjuran Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin serta beberapa agensi kerajaan lain.

Pameran yang akan diadakan sehingga 27 Oktober 2022 di sini turut dijadual menjelajah ke empat daerah lain sehingga bulan Mei tahun hadapan demi memberi peluang kepada sekalian rakyat jelata mengenali institusi TYT dengan lebih dekat.

Di Dewan Sri Pinang kini, pameran dibuka setiap hari kecuali Jumaat mulai jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Masuk adalah percuma.

Berbaloi mai tengok pameran ini!