PINANG TUNGGAL – Semua pengundi di negeri ini yang layak mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) diseru untuk keluar membuang undi pada pada 12 Ogos ini.
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bahawa peratusan keluar mengundi yang tinggi adalah sangat penting bukan sahaja untuk memilih wakil rakyat bagi sesuatu kawasan, malah ia juga akan menentukan pihak yang akan membentuk Kerajaan Negeri.
“Sepertimana seruan kita dalam setiap ceramah bahawa mengundi adalah hak demokratik setiap pengundi.
“Setiap undi yang disumbang akan menentukan pembentukan Kerajaan Negeri dan siapakah Ketua Menteri yang akan memimpin pentadbiran negeri.
“Sekiranya pengundi tidak keluar mengundi, maka orang lain yang akan membuat keputusan untuk diri kita dengan cara membuang undi.
“Oleh itu, saya berharap agar peratusan keluar mengundi pada PRN ini adalah melebihi 70 peratus,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama-sama penduduk Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal di sini sebentar tadi.
Turut hadir, calon bagi KADUN Pinang Tunggal, Zainuddin Mohamad; Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng serta Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi.
Terdahulu, semasa berucap pada majlis tersebut, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menyeru penduduk di Kepala Batas untuk memilih calon-calon daripada PH dan Barisan Nasional.