Tunas Muda sumbang RM1.5 juta, Azrul harap Masjid Al-Hidayah segera dinaik taraf

img 6382

BAYAN LEPAS – Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad menyerahkan sumbangan dana bernilai RM1.5 juta kepada pihak pengurusan Masjid Al-Hidayah Bayan Lepas bagi tujuan naik taraf.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, Suhaimi Abdul Jalil kepada Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Murshid Mansor.

img 6377

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz yang hadir menyaksikan majlis penyerahan berharap agar sumbangan tersebut mampu mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf atau membina semula masjid berkenaan yang semakin padat.

“Ini merupakan satu detik bersejarah yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata, kita meraikan dengan rasa syukur atas keperihatinan pihak Tunas Muda.

“Kita berharap agar hasrat untuk melihat masjid ini dalam kondisi baharu dapat dicapai kelak,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Cek Cura Dana Pembesaran Masjid Al-Hidayah Bayan Lepas sebelum solat Jumaat sebentar tadi.

img 6378

Hadir sama, Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Pegawai Tadbir Agama DBD, Tuan Ismail Tuan Abdullah dan Ketua Unit Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shahril Shahrom.

Jelas Azrul, dana sebanyak RM1.5 juta tersebut akan disatukan dengan dana wakaf sedia ada lebih daripada RM2 juta akan membolehkan kerja-kerja pengambilan tanah dapat dimulakan terlebih dahulu.

“Ini juga sumbangan pertama, akan ada lagi sumbangan secara berperingkat oleh Tunas Muda sehingga mencecah nilai RM3.157 juta.

“Dengan jumlah ini juga, pengambilan tanah dapat dilakukan seperti syarat minimum yang diperlukan mengikut kehendak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH),” katanya yang juga Timbalan Speaker DUN.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI