Tunggu keputusan esok, respons Chow Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri

PULAU TIKUS – Sama ada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat ini atau tidak, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Pakatan Harapan (PH) peringkat Pusat akan membuat pengumuman pada hari esok.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang berkata setakat ini, pihaknya berjaya meyakinkan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti tersebut supaya pilihan raya di Pulau Pinang diadakan serentak dengan PRU15.

“Dan, kita (DAP Pulau Pinang) berjaya meyakinkan DAP Pusat (CEC) untuk membawa isu ini ke mesyuarat Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung semalam (12 Oktober 2022).

“Seperti diumumkan selepas mesyuarat berkenaan, kita (DAP dan PH Pulau Pinang) akan tunggu pengumuman rasmi pada esok hari,” jelasnya yang juga Pengerusi PH Negeri Pulau Pinang semasa ditemui di sini pada 13 Oktober 2022.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menjelaskan bahawa isu logistik dan kejenteraan merupakan antara faktor di sebalik cadangan supaya PH Pusat bersetuju untuk diadakan pilihan raya serentak peringkat negeri dan Parlimen.

Isnin lepas, Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan PRU15 diadakan dalam tempoh 60 hari.