Tunggu proses di mahkamah selesai, baru projek bina jalan pintasan Tasek Mutiara – Hijauan Hills

Admin
9965b6a7 2d2a 4ade 8371 1954e24277eb KETUA Menteri (tengah) menyantuni penduduk setempat di sini tadi.

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri hari ini komited untuk meneruskan projek pembinaan jalan pintasan yang menghubungkan Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills, namun perlu menunggu proses perbicaraan kes berkaitan selesai di mahkamah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai menjawab soalan salah seorang penduduk tempatan dekat kawasan kejiranan berpagar, Villa Mutiara Indah di sini pada 4 Julai 2024.

“Walaupun kita adalah Kerajaan Negeri, kita pun perlu mematuhi undang-undang berkaitan serta tidak boleh mengambil tanah mana-mana pihak sesuka hati (meskipun untuk tujuan kepentingan umum).

“Oleh itu, jalan (pintasan) tidak dapat dibina sehingga kini” responsnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Tanpa pengambilan tanah tersebut serta pelaksanaan projek pembinaan jalan pintasan di kawasan berkenaan, difahamkan, akan mengakibatkan penduduk setempat terutama yang mahu ke sekolah terpaksa menempuhi bulatan perjalanan yang lebih jauh.

Pada 24 April lepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah membuat keputusan berhubung semakan kehakiman yang dibuat oleh syarikat pemaju swasta, Palmington Sdn. Bhd. (Palmington) terhadap Kerajaan Negeri, Pentadbir Tanah Seberang Perai Selatan (SPS) serta Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang.

Ketetapan mahkamah menolak semakan kehakiman tersebut membolehkan cadangan pengambilan tanah sebahagian Lot 25706, Mukim 15, Daerah SPS seluas 0.470 hektar iaitu bagi tujuan pembinaan jalan pintasan dari Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills, diteruskan.

Palmington kemudiannya membuat permohonan penangguhan tindakan berwajib di mahkamah, namun ditolak.

Keputusan mahkamah memberi ruang kepada Pentadbir Tanah Seberang Perai Selatan (SPS) mengemukakan Borang E Akta Pengambilan Tanah (1960) iaitu notis siasatan terhadap Palmington, yang dijadualkan pada 5 Jun lepas di Pejabat Daerah dan Tanah dekat Jawi.

Mengulas lanjut perkembangan isu tersebut, Kon Yeow memberitahu bahawa sepatutnya pihak berkenaan memenuhi pelawaan negeri untuk membincangkan soal pampasan, bukan merumitkan ‘proses’ di mahkamah hingga kini.

“Sepatutnya ada mesyuarat untuk berbincang serta bersetuju dan terima pampasan (atas pengambilan tanah berkenaan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Selepas itu, seorang wakil penduduk lain mencadangkan tempoh masa lampu isyarat hijau di laluan utama antara Jalan Tasek Mutiara dan Jalan Hijauan Hills, dipanjangkan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas kenderaan terutama pada waktu puncak.

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri berkata bahawa pihaknya menyambut baik syor tersebut untuk dikaji oleh pihak berwajib, sebelum dilaksanakan.

Hampir sejam juga sesi perbincangan dua hala berlangsung di dewan komuniti di sini, yang merangkumi lima isu setempat termasuk status pembinaan jalan jejantas sama ada akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri hari ini atau opsyen lain.

Bisik seorang penduduk kepada Buletin Mutiara, “Calon Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin belum memenangi PRK (Pilihan Raya Kecil), tetapi perbicaraan ala Forum Sungai Bakap seolah-olah mula dilangsungkan pada malam ini.”

Selamat mengundi, Sabtu ini!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN