Tuntut segera pulih Sg. Batu Feringgi

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kementerian Teknologi, Tenaga Hijau dan Air didesak segera memulihkan kebersihan air Sungai Batu Feringghi walaupun Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) sebagai syarikat berkaitan Kerajaan Persekutuan tetap nafi sebagai punca pencemaran sungai tersebut di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah memulihara sungai itu menurut Perlembagaan Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

“Yang perlu ditekankan, segera hentikan pencemaran sungai ini dulu. Kedua, kita anggap IWK puncanya, tetapi, mereka telah nafi serta tidak mahu menanggung kos (pemuliharaan sungai itu).

“Bolehkah dilihat kadar kemusnahan air semulajadi sungai ini. Bolehkah seseorang sahaja yang melakukannya. Ini adalah tindakan sebuah industri, bukan kerja perseorangan.

“Malangnya, sebuah Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa yang lebih, melainkan (perlu) kuasa Kerajaan Persekutuan untuk (memulihara) sungai ini,” ujarnya kepada media selepas mengadakan interaksi dua hala dengan IWK di sini baru-baru ini.

IWK diwakili Ketua Pengarah Eksekutifnya sendiri, Datuk Ir. Abdul Kadir Mohd. Din.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), barisan Exco Kerajaan Negeri  serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menyertai interaksi dua hala itu.

Hadir sama, wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Sebelum itu, Abdul Kadir berkata, IWK ada melepaskan air kumbahan, tetapi, tidaklah sampai mencemar sungai.

Justeru, menurut Abdul Kadir, IWK tidak wajar menanggung kos pemuliharaan sungai tersebut sebagaimana dicadangkan oleh Guan Eng memandangkan kerja-kerja tersebut bukan urusan syarikat berkaitan Kerajaan Persekutuan itu.

Tuntas itu, Guan Eng berkata, pihaknya akan meminta Putrajaya segera menangani isu pencemaran sungai tersebut demi masa depan Pulau Pinang.

Terdahulu, loji rawat olahan kumbahan IWK (PEG073) di Jalan Batu Feringghi didakwa menghadapi masalah kebocoran.

Kemunculan bahan hitam yang sangat pekat di muara Sungai Batu Feringghi itu dikatakan berpunca oleh kobocoran loji pembentung tersebut walaupun IWK menafikan hal tersebut.