Tuntutan caj air mentah, kita jumpa di mahkamah, respons Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media di sini pada awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Cakap-cakap di luar mahkamah berhubung Kerajaan Negeri Kedah menuntut caj air mentah daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah disifatkan ‘tidak bermanfaat’.

Demikian reaksi spontan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah yang telah melantik peguam bagi mendapatkan konsultasi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.

“Kita jumpa di mahkamah, kita sebenarnya menunggu, sebab cakap-cakap di luar (mahkamah) pun ‘tidak bermanfaat’,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi selepas menyampaikan hadiah Pengiktirafan dan Anugerah Warisan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) di sini pada 3 Januari 2022.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong mengulangi pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk merujuk isu itu kepada hak riparian (riparian water rights) atau hak pemilik tanah di tebing sungai untuk menikmati manfaat sumber semula jadi tersebut sebagaimana diiktiraf peringkat konvensyen antarabangsa.

Pada 1 Januari 2022, sebuah portal berita arus perdana melaporkan Menteri Besar Kedah mengulangi pendiriannya berhubung tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang bukan sahaja menjadi harapan beliau, namun rakyat Kedah.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD