Turun papan iklan bahaya, tanpa lesen

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan mula menurunkan papan iklan tanpa lesen, khususnya yang didirikan secara berbahaya.

Ahli Majlisnya, L. Prem Anand berkata, langkah itu demi mengelak insiden terbaru mengenai runtuhan konkrit penebat kilat dari atas bumbung bangunan Menara UMNO Pulau Pinang dekat Jalan Macalister di sini berulang.

“Selama dua tahun untuk mereka (pemilik papan iklan) buat ‘pemutihan’ (memohon lesen), tetapi, mereka gagal.

“Kita tak mahu insiden (seperti) di Jalan Macalister berulang,” tegasnya dalam satu sidang media selepas menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Papan Iklan MPPP. Beliau berkata, pada tahun ini, sebanyak 32 permohonan papan iklan sahaja diluluskan.

Menurut beliau, langkah penguatkuasaan terhadap pemilik papan iklan tanpa lesen tersebut adalah demi keselamatan pelanggan serta mampu menambah lagi sumber pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Katakanlah sewa satu papan iklan di Padang Brown (dekat Datuk Keramat) RM5,000 sebulan, ertinya MPPP boleh mendapat sumber RM60,000 setahun.

“Di situ, ada papan iklan tanpa lesen sampai 10 tahun, bayangkan berapakah keuntungan yang sepatutnya MPPP peroleh untuk satu papan iklan sahaja, tetapi, dikaut oleh syarikat pengiklanan terbabit,” ujar beliau sambil memohon MPPP supaya tidak berlembut lagi dengan pihak berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menganggarkan hampir 500 papan iklan tanpa lesen didirikan di sekitar pulau negeri ini.