GEORGE TOWN – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong meminta pegawai-pegawai di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tersebut untuk turun ke setiap negeri bagi mendalami permasalahan pekerja.
Jelasnya, pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi 3K KESUMA untuk meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan kerja.
“Kita seharusnya bersama dengan golongan-golongan pekerja, kerana tidak ada gunanya kalau kita sekadar duduk di bilik berhawa dingin dan ada pejabat di Putrajaya semata-mata.
“KESUMA harus turun ke negeri-negeri tidak kiralah Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Kelantan atau mana-mana kita perlu turun dengar pandangan pekerja, faham kesusahan mereka dan kita cuba selesaikan masalah-masalah tersebut,” ujar Chee Keong pada Majlis Sambutan Deepavali KESUMA dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dekat Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, semalam.
Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berangkat hadir sebagai tetamu kehormat.
Pada majlis sama, Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam turut menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bernilai RM10,000 serta hamper kepada enam rumah pertubuhan kebajikan dari Pulau Pinang dan Kedah.
Sementara itu, 146 penerima daripada keluarga kurang berkemampuan sekitar negeri ini turut menerima sumbangann bakul makanan.
Lima penerima pula mendapat bantuan kerusi roda dan kotak prihatin sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI