TYT – 1 Muharram perlu dihayati bukan ritual semata-mata

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, menyeru agar rakyat Pulau Pinang tidak menjadikan sambutan 1 Muharram hanya ritual semata-mata, sebaliknya menghayati intipati spiritual dan material ummah di sebalik penghayatan hijrah itu sendiri.

Dalam ucaptamanya, Abdul Rahman mengingatkan bahawa manusia mudah lupa dan lalai apabila beroleh dua
perkara iaitu kesihatan dan masa lapang. Oleh itu, beliau berharap agar umat Islam di Pulau Pinang berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dan beroleh kemenangan melaluinya.

“Orang yang berjaya adalah orang yang lebih baik dari semalam. Orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama seperti semalam. Orang yang malang adalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam,” ucap beliau bersempena Majlis Perhimpunan Ummah Sambutan Maal Hijrah 1433H/2011M Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Bersempena itu, Kerajaan Negeri telah memilih tema ‘Hijratul Rasul Pencetus Perubahan’ untuk sambutan tahun ini.

Dalam majlis yang sama, penyampaian anugerah-anugerah khas sempena sambutan Maal Hijrah turut diadakan. Antaranya, penerima Anugerah Saudara Kita, Siti Sarah Khoo Abdullah, 29; Anugerah Ibu Mithali, Hajjah Mariam Ahmad, 71; Anugerah Bapa Mithali, Hanafiah Saad, 82; Anugerah Pendakwah Negeri, Khairol Annuar Musa, 46 dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1433H, Dr. Danial Zainal Abidin, 56.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid, syarahan perdana oleh Presiden Wadah Kecerdasan Ummah Malaysia (WADAH), Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil yang berkisarkan Maqasid Syariah, Seminar Maqasid Syariah oleh Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Radzi Othman, Dr. Ashraf Md.Hashim dan Dr. Mujahid Yusof Rawa serta pelancaran Konsep Masjid Madani Negeri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim, turut mengajak umat Islam Pulau Pinang untuk menjadikan penghijrahan Rasulullah S.A.W sebagai pencetus kepada perubahan diri, keluarga dan masyarakat demi kelangsungan bangsa, agama dan negara.

Malah, beliau turut menyatakan bahawa Majlis Perhimpunan Ummah kali ini bukanlah semata-mata untuk memberi kesedaran dan penghayatan tentang nilai-nilai hijrah dalam konteks transformasi ummah masa kini, malah, turut merangkumi pembangunan jatidiri dan spiritual umat Islam dalam menjana pembentukan masyarakat madani dan modal insan yang cemerlang selain memahami konsep sebenar penghijrahan Rasulullah S.A.W.