TYT bangga P. Pinang tiada catuan air

Admin
DR. Abdul Rahman Abbas meramah mesra dengan ADUN-ADUN selepas selesainya majlis perasmian.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Negeri,  Tuan Yang Terutama (T.Y.T), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas melahirkan rasa bangga bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak menjalankan catuan air sungguhpun Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Taiping, Perak terpaksa menjalankannya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ketiga Belas di sini baru-baru ini.

Katanya, beliau menyokong cadangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan tarif air domestik dan perdagangan sebagai satu langkah pengurusan permintaan air untuk mengelakkan daripada catuan air.

“Tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kenaikan tarif air ini bertujuan menggalakkan rakyat mengurangkan penggunaan air sekaligus untuk mengelakkan catuan air di Negeri Pulau Pinang.

“Namun demikian, selepas peningkatan tarif air, tarif air domestik yang dikenakan masih terendah di Malaysia iaitu RM 0.32 per meter kubik untuk 35,000 liter pertama sebulan, iaitu 30 peratus daripada harga di Johor. Untuk tarif perdagangan pula, tarif selepas kenaikan adalah sebanyak RM1.36, iaitu kurang daripada tarif purata kebangsaan sebanyak RM 1.45.

“Marilah kita sama-sama mengurangkan penggunaan air bagi menghadapi musim kemarau ekoran El Nino tanpa melaksanakan sebarang catuan air,’’ katanya di sini.

Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ketiga Belas tersebut dimulakan dengan upacara istiadat perbarisan bersama panji-panji diketuai Deputi Supritendan (DSP) Mohd. Faizol Che Romly dengan dianggotai tiga pegawai dan 102 anggota dari Unit No. 3, Pasukan Simpanan Persekutuan Pulau Pinang.

Perbarisan turut diiringi dengan rentak muzik pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah di bawah pimpinan DSP Rahmathullah Khan.

Hadir sama, isteri TYT, Toh Puan Seri Majimor Shariff, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan isteri, Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang dan isteri dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang.

Menurut Abdul Rahman, Kerajaan Negeri juga telah mengorak langkah bijak dengan membeli unit-unit perumahan yang telah siap dibina pemaju swasta seperti pembelian 51 unit Rumah Pangsa Kos Rendah di Taman Seruling Emas di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) untuk menjalankan Skim Sewa Beli bagi golongan berpendapatan rendah dengan kadar sewaan sebanyak RM100 sebulan dan kos penyelenggaraan RM20 sebulan.

“Kerajaan Negeri juga melaksanakan Skim Pemilikan Bersama atau “Shared Ownership Scheme” (SOS) untuk membolehkan rakyat berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah pertama dengan bantuan pinjaman tanpa faedah, yang merupakan inisiatif julung kali diadakan di Malaysia.

“Di bawah skim ini, pemohon hanya perlu mendapatkan pinjaman bank dengan faedah bank sebanyak 70 peratus daripada harga rumah, manakala baki pinjaman sebanyak 30 peratus lagi akan diperoleh daripada Kerajaan Negeri tanpa faedah.

“Inisiatif ini telah dilaksanakan dengan pembelian 104 unit Rumah Kos Rendah di Taman Sungai Duri Permai, SPS oleh Kerajaan Negeri pada 29 April lalu,’’ jelas beliau.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga telah memberi peruntukan sebanyak RM11.3 juta kepada Bahagian Perumahan bagi mengurus dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan ke atas semua Rancangan Perumahan Kerajaan Negeri.

“Adalah diharapkan agar dengan adanya peruntukan tersebut, secara tidak langsung akan dapat memberi nafas baru kepada semua penduduk Rancangan Perumahan Kerajaan Negeri untuk menikmati kehidupan yang selesa dan harmoni,’’ ujar Abdul Rahman.